PKNS anjur Trail Run, Duathlon

in Edisi Selangor KL by


SHAH ALAM – Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bakal menganjurkan PKNS Trail Run dan Duathlon 2018 di Bernam Jaya Hulu Selangor Julai ini.


Kategori dipertandingkan bagi PKNS Train Run lelaki dan wanita melibatkan acara larian sejauh 21 kilometer (km), 10km serta 5km.


Manakala acara Trail Duathlon kategori lelaki dan wanita melibatkan dua disiplin bermula larian 5km, berbasikal 20km disusuli sambungan larian sejauh 5km hingga ke garisan penamat.


Ketua Pegawai Operasi PKNS, Norita Mohd Sidek berkata, program berlangsung selama dua hari pada 21 Julai melibatkan acara PKNS Trail Run dan 22 Julai Trail Duathlon.


Menurutnya, beliau menyasarkan penyertaan seramai 1,000 peserta yang boleh membuat pendaftaran di laman web www.raceXasia.com sebelum 10 Julai 2018.


“PKNS telah menerima 500 penyertaan setakat ini yang menawarkan hadiah keseluruhan RM72,000 dengan wang tunai juara RM2,500 dan RM3,000 mengikut kategori dipertandingkan.


“Penyertaan terbuka kepada warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas dengan yurun penyertaan dikenakan bagi kategori 21km ialah RM100, 10km RM60 dan 5km RM30. Sementara Trail Duathlon pula adalah RM150,” katanya dalam sidang media diadakan di ibu pejabat PKNS, kelmarin.


Katanya, penganjurannya bermatlamatkan memperkenalkan lokasi tersebut yang berpotensi  sebagai pusat aktiviti lasak.


“Disamping peluang peserta menikmati suasana kehijauan alam semulajadi dan menerapkan gaya hidup sihat melalui sukan.


“Dan juga berkongsi projek pembangunan perumahan,komersil serta institusi di bawah gerbang pembangunan utara Selangor di bawah PKNS,” katanya.


Turut hadir, Pengerusi Urusetia PKNS Trail Run dan Duathlon, Saharom Mohni dan Pengurus Acara, Mohd Azlishah Abdullah.


Azlishah dalam ucapan ringkasnya berkata, persiapan kini di fasa 80 peratus melibatkan lokasi acara, aspek keselamatan dan kemudahan.


“Penekanan prosedur kecemasan dan teknikal telah dikaji dengan kerjasama pasukan paramedik serta petugas yang memantau sepanjang trek.


“Malah laluan akses yang boleh dilalui pacuan empat roda 4×4 turut dilakukan bagi memastikan penganjuran berjalan lancar dan aspek keselamatan menjadi keutamaan kami,” katanya.


Maklumat lanjut program boleh diperoleh dengan melayari laman sosial facebook PKNS Trail Run & Duathlon 2018 atau pertanyaan emel kepada equipmgnt@gmail.com.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]