Polis cari lelaki bantu kes remaja hilang

in Edisi by


BACHOK – Polis sedang mencari seorang lelaki bagi membantu siasatan kes kehilangan seorang remaja perempuan bawah umur yang juga pelajar sebuah sekolah dekat sini.


Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, remaja perempuan berusia 15 tahun itu dilaporkan keluar rumah tanpa pengetahuan ibu bapanya jam 1.30 tengah hari pada 26 April lalu.


Menurutnya, sehingga kini remaja terbabit masih belum pulang ke rumah dan seorang lelaki bernama Mohamad Edry Farhan Suding, 19, dari Kampung Gelang Gelonggong dikehendaki bagi membantu siasatan.


“Ini adalah kali keempat remaja perempuan itu hilang dari rumahnya di Kampung Hujung Repek. Pihak polis masih mengesan dan siasatan diteruskan bagi memastikan remaja itu keluar rumah sukarela atau dilarikan seseorang.


“Justeru, bantuan media diperlukan untuk hebahkan kejadian ini bagi mengesan lelaki bernama Mohamad Edry Farhan Suding untuk membantu siasatan kami,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok dekat sini.


Nik Aminuddin berkata, mana-mana pihak yang mengenali atau menjumpai individu terbabit boleh hubungi IPD Bachok di nombor 09 7788222 atau Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Bachok, Asisten Superintendan Nazri Mohamad di nombor 016 5555576.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]