Program pemutihan perbaharui cukai jalan kenderaan

in Edisi Pahang by


KUANTAN – Sebanyak 1,171 pemilik kenderaan di negeri ini mengambil peluang tawaran program pemutihan bagi memperbaharui cukai jalan kenderaan masing-masing setakat ini.


Daripada jumlah itu, 771 melibatkan motosikal dan 400 kereta dengan hasil kutipan keseluruhan, RM65,412.


Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang, Muhammad Abdullah berkata, program pemutihan yang dilancarkan sejak 24 Mac hingga 30 Jun ini memberi peluang kepada pemilik kenderaan yang tamat tempoh cukai jalan tidak melebihi tiga tahun berbuat demikian tanpa perlu menjalani pemeriksaan Puspakom.


Menurutnya, orang ramai perlu merebut peluang dalam tempoh di saat-saat akhir ini untuk berbuat demikian sebelum promosi tersebut ditamatkan.


“Selepas tempoh ini, bagi kenderaan yang tamat tempoh cukai jalan melebihi setahun, pemilik perlu membuat pemeriksaan di Puspakom seperti biasa sebelum dibenarkan memperbaharui cukai jalan,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam sidang media penutup Ops Hari Raya Aidilfitri (Ops HRA) 2018 peringkat negeri di pejabatnya di sini, hari ini.


Muhamad berkata, pihaknya juga tidak menerima laporan atau sebarang aduan berhubung penawaran ‘lesen terbang’ oleh pihak tertentu terutama institut latihan memandu di negeri ini.


Katanya, JPJ Pahang sentiasa membuat pemantauan  terhadap proses pengeluaran lesen memandu dan pemeriksaan sentiasa dilakukan  bagi memastikan perkara ini tidak berlaku.


“Tidak dinafikan ada pihak menawarkan lesen memandu dengan cara mudah seperti promosi gerenti lulus atau lulus segera yang diiklankan.


“Tapi setakat ini kita tidak menerima sebarang laporan, mungkin tawaran diiklankan itu sekadar gimik untuk menarik pelanggan untuk mendaftar dengan institusi mereka,” katanya.


Menurutnya, hasil pemeriksaan pihaknya ke atas pusat memandu mendapati pengusaha mematuhi kadar siling bayaran setiap lesen seperti yang ditetapkan.


“Kita sudah ada kadar siling  bagi setiap kategori lesen di mana bagi motosikal RM350 manakala kereta antara RM1,150 hingga RM1,350 bergantung kepada lesen sama ada manual atau automatik.


“Harga yang ditetapkan ini dipaparkan kepada pelanggan di semua institusi memandu jadi tidak sepatutnya (pelanggan) terpedaya dengan tawaran lesen secara mudah oleh pihak tertentu,” katanya.


Bagaimanapun beliau berkata, sekiranya berlaku, pihak berkenaan perlu tampil membuat aduan untuk siasatan dan pemeriksaan dilakukan ke sekolah-sekolah memandu terlibat,”katanya.


Sementara itu, Muhamad berkata, sepanjang Ops HRA 2018, JPJ Pahang melakukan pemeriksaan ke atas 7,587 kenderaan iaitu peningkatan sebanyak 1,746 kenderaan berbanding ops sama tahun lalu, 6,111 kenderaan dengn jumlah kesalahan dikesan 1,500 kes.


Beliau bagaimanapun berpuas hati apabila jumlah kenderaan yang dikenakan tindakan menurun daripada 1,065 pada Ops HRA 2017 kepada 967 pada Ops HRA 2018 ini dengan saman dikeluarkan hanya 994 saman berbanding 1,580 tahun lalu.


“Bilangan saman menurun sebanyak 37 peratus manakala jumlah kenderaan disita hanya enam kali ini berbanding 21 tahun lalu.


“Daripada jumlah kenderaan diperiksa, 823 melibatkan bas dan lapan daripadanya dikesan melakukan kesalahan terutama aspek teknikal dan tidak menyediakan pemandu kedua,” katanya.


Beliau berkata, bagi Ops Khas motosikal, sebanyak 2,968 motosikal diperiksa dan 753 kesalahan dikesan.


Source: SH Edisi Pahang

[featured-video-plus]