Senarai Kabinet tersebar spekulasi semata-mata

in Nasional by


SHAH ALAM – Senarai penuh barisan Kabinet kerajaan yang tersebar di media sosial dianggap sebagai spekukasi dan andaian semata-mata kerana mengambil masa yang lama bagi memenuhi semua posisi dalam kementerian.


Ahli Parlimen Temerloh, Mohd Anuar Tahir berkata, senarai tersebut bukan kenyataan rasmi dan berkemungkinan nama yang diuar-uarkan itu ada yang tidak disenaraikan sebagai barisan menteri dan timbalan menteri.


“Sebelum ini kita dengar 2 Julai ini barisan penuh Kabinet akan mengangkat sumpah. Jadi sebelum tarikh itu sudah pasti akan ada pengumuman.


“Masa itu kalau Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) keluarkan kenyataan sama ada secara lisan atau bertulis menerusi kenyataan media, barulah (barisan penuh Kabinet disenaraikan) itu benar,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.


Ditanya sama ada Perdana Menteri berhubung dengannya mengenai perkara itu, Mohd Anuar bagaimanapun tidak menafikannya, namun enggan mengulas lanjut.


“Perhubungan (dengan Perdana Menteri) itu biasa sebab dari semasa ke semasa, ada hubung sama ada pejabat beliau dan sebagainya, tetapi soal pelantikan (barisan penuh Kabinet) ini tak bolehlah saya nak mengesahkan kerana bukan benda itu tak berlaku, tapi saya rasa biarlah kita tunggu sehingga Perdana Menteri sendiri buat pengumuman.


“Ini adalah kuasa autoriti prerogatif beliau sebagai Perdana Menteri kita. Kalau kita buat kenyataan, itu mendahului Perdana Menter..tak manis. Tunggu sehingga pengumuman rasmi dibuat, minggu depan atau hujung minggu ini. Tak lari gunung dikejar, akan sampai masanya, ” katanya.


Sejak malam tadi, tular di media sosial berhubung barisan penuh Kabinet termasuk beberapa kementerian baharu.


Menerusi senarai itu, Mohd Anuar disenaraikan sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]