Tak mengaku salah merompak berkumpulan

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki yang menyembunyikan diri hampir tiga tahun selepas dituduh melakukan rompakan berkumpulan menggunakan parang membabitkan kerugian RM 11,000 sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini


Tertuduh, Zulfademe Zalian @ Zailan, 32, dari Dungun, sebelum ini pernah didakwa di Mahkamah Sesyen pada 2015 atas kesalahan tersebut, bagaimanapun gagal hadir ke mahkamah sebaik dibebaskan dengan ikat jamin.


Tindakan tertuduh yang menyembunyikan diri menyebabkan kes berkenaan tertangguh sebelum mahkamah membuat keputusan melepaskan tanpa membebaskan tertuduh daripada pertuduhan berkenaan.


Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika pertuduhan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustapha.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bersama-sama seorang yang masih bebas melakukan rompakan berkumpulan iaitu wang tunai RM11,000 milik Adnan Mohd Ariffin, 49, dengan menggunakan sebilah parang.


Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Lorong Satu, Kampung Padang Jambu, Dungun, jam 2 pagi pada 11 Disember 2014.


Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.


Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 10 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk lantikan peguam.


Tiada sebarang jaminan ditawarkan kepada tertuduh memandangkan tertuduh sebelum ini gagal memberikan kerjasama apabila melarikan diri selepas diikat jamin.


Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]