25 premis makanan diarah tutup

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


SEREMBAN – Sebanyak 25 premis makanan diarahkan tutup kerana melakukan beberapa kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.


Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepengunaan, S Veerapan berkata, sehingga tempoh 17 Jun lalu, sebanyak 13,108 premis makanan termasuk outlet makanan seluruh negeri ini diperiksa.


Menurutya, daripada jumlah tersebut, 250 notis kompaun dikeluarkan kepada pemilik premis dan 25 pula diarahkan tutup.


“Pemeriksaan premis dan tindakan penguatkuasaan dilakukan termasuk terhadap premis makanan 24 jam susulan aduan kotor sehingga mengundang tikus dan lipas dalam premis yang kita terima.


“Kebersihan premis makanan adalah salah satu perkara yang perlu diambil berat dan semua pengusaha makanan perlu bertanggungjawab serta sentiasa peka dengan kebersihan.


“Oleh itu, jabatan kesihatan di seluruh daerah kerap melakukan pemantauan dan pemeriksaan premis secara berterusan bagi memastikan peraturan kebersihan dan pengendalian makanan itu dilaksanakan dengan sempurna, tanpa sebarang kompromi,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas Merasmikan Konvensyen HepiLI (Doktor Muda) yang turut dihadiri Timbalan Pengarah Kesihatan negeri (Kesihatan Awam), Dr Ahmad Jusuh di Dewan Merbau Jabatan Kesihatan negeri, di sini, semalam.


Menurutnya, antara jenis kesalahan yang dikeluarkan notis adalah tidak mendaftarkan premis makanan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia, pengendali makanan tiada sijil pengendalian dan pengendali makanan tiada suntikan anti-typhoid.


“Pengusaha gagal mengekalkan kebersihan premis, tidak memakai apron dan penutup kepala serta pengendali makanan tidak menjaga kebersihan diri juga dikesan dilakukan pekerja dan penguasaha premis.


“Kerajaan negeri sangat komited dalam memastikan setiap premis makanan yang beroperasi di negeri ini berada dalam keadaan bersih, terjamin dan selamat,” katanya.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]