BN sedia jadi pembangkang berwibawa

in Edisi Selangor KL by


SABAK BERNAM – Adun Sungai Air Tawar, Rizam Ismail yang dilantik sebagai Ketua Pembangkang Dun Selangor pada penggal ini yakin kesemua wakil rakyat BN cukup bersedia dan mampu menjadi pembangkang berwibawa.


Menurutnya, sebagai sebuah negara menjunjung kesuburuan sistem demokrasi, beliau berusaha memainkan peranan semak dan imbang terhadap pentadbiran kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan (Harapan).


“Walaupun kita berada pada kumpulan yang kecil, namun akan terus menjadi pengimbang kepada kerajaan pada hari ini untuk memastikan bahawa kebajikan rakyat negeri Selangor ini terus terbela,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Kuliah Maghrib di Masjid Ubudiah Kampung Simpang Empat Bagan Nakhoda Omar, di sini.


Rizam berkata, inilah masa sesuai untuk rakyat menilai bahawa kerajaan yang ada pada hari ini mampu melaksanakan sebarang janji atau pun hanya bersikap populis semata-mata.


“Sudah tentu, sebagai pembangkang di Selangor, kami ingin buat yang terbaik,” katanya.


Beliau turut berterima kasih kepada kepimpinan Umno dan BN kerana memberi kepercayaan menggalas amanah terbabit dalam usia masih muda.


“Walaupun saya berusia 37 tahun, tetapi mereka (kepimpinan BN) percaya bahawasanya pada hari ini generasi muda perlu diberi ruang untuk membawa perubahan .


Katanya, sudah pasti, pemimpin Umno berpengalaman di negeri ini dijadikan rujukan untuk membolehkan institusi ketua pembangkang berfungsi dengan baik.


“Pemimpin¬† berpengalaman seperti Tan Sri Noh Omar, Datuk Shamsudin Lias, selain kita ramai tokoh-tokoh di negeri Selangor ini yang pernah menjadi menteri besar, seperti Dr Khir Toyo dan Tan Sri Abu Hassan Omar yang boleh menjadi rujukan saya sepanjang saya menjadi pembangkang.


“Di samping itu juga, saya mengharapkan buah fikiran daripada orang ramai terutama generasi muda yang berada di bandar dan luar bandar agar memberi maklumat dan input yang berguna untuk saya bawa di Sidang Dun Selangor,” katanya.


Jawatan Ketua Pembangkang Dun Selangor  kosong sejak Disember 2014.


BN Selangor yang menjadi pembangkang sejak PRU12 tidak mengisi kekosongan yang ditinggalkan Datuk Mohd Shamsudin Lias selepas Adun Sungai Burong itu meletak jawatan kerana tidak berpuas hati dengan komposisi anggota Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam Selangor.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]