Bukan masa rebut jawatan!

in Politik by


KUALA NERANG – Semua ahli Umno perlu bersatu dan memulihkan kembali semangat Sang Saka Bangsa selepas tewas pada PRU lalu. Naib Ketua Umno Padang Terap, Datuk Badrol Hisham Hashim berkata, kini bukan masanya untuk ahli merebut serta memecahbelahkan lagi barisan kepimpinan Umno pada pemilihan yang berlangsung kali ini.


Katanya, ahli perlu meletakkan Umno di tempat yang terbaik dan bukannya medan untuk berpecah belah terutamanya selepas tewas pada pilihan raya lalu.


“Ini tidak bermakna ahlinya tidak boleh mencabar pada pemilihan Umno kali ini tetapi perwakilan perlu bijak memilih mereka yang berpengalaman dan semangat setia kepada Umno perlu diambil kira.


“Perwakilan perlu menilai sebaik mungkin dengan kebolehan dan kepimpinan seseorang calon itu dan bukannya hanya mampu memberi janji-janji manis sahaja,’ katanya yang terbabit politik selama 30 tahun.


Menurut Badrol Hisham, Umno sejak dahulu lagi sentiasa mengamalkan demokrasi dan beliau sentiasa berlapang dada jika ada pihak yang mencabarnya pada jawatan Naib Ketua Umno Padang Terap pada pemilihan kali ini.


Pada pemilihan Umno kali ini semua calon perlu bertanding secara semangat kekeluargaan dan bukannya kemenangan itu menyebabkan Umno terus semakin lemah.


“Di sinilah peranan perwakilan perlu bijak untuk memilih calon kerana Umno sekarang ini perlu dipulihkan kembali kepercayaan masyarakat terhadap Umno.  Bukannya mudah untuk mengembalikan semangat jika calon itu kurang berpengalaman,” katanya.


Menurut Badrol Hisham, sejarah banyak memberi pengajaran kepada kepimpinan Umno kerana jika perwakilan gagal memilih calon yang berpengalaman dan mampu bekerja keras akhirnya parti Melayu tu akan hilang hala tujunya.


Pada pemilihan Umno bagi jawatan Naib Ketua Umno Padang Terap untuk sesi 2018/21, beliau akan dicabar oleh aktivis dari Padang Terap, Che Sakeri Ibrahim.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]