Idris sangkal dakwaan guna 'pengaruh wang'

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


MELAKA – Ketua Umno Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Idris Haron menafikan beliau mengguna ‘pengaruh wang’ untuk meraih sokongan perwakilan pada pemilihan Umno bahagian 30 Jun ini seperti didakwa anggota jawatankuasa bahagian itu.


Katanya usaha mendapatkan peruntukan RM1,000 sebulan dan seekor lembu setahun kepada cawangan dalam bahagian itu telah dilaksanakan beliau sejak 2014 bagi memastikan setiap cawangan dapat melaksanakan program melibatkan anggota parti dan rakyat setiap bulan tanpa gagal.


Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri itu berkata sebagai manifestonya sekiranya beliau diberikan mandat untuk terus menerajui kepimpinan di Bahagian Tangga Batu bagi sesi 2018-2021, usaha itu akan diteruskan demi kepentingan parti serta rakyat kawasan tersebut.


“Manifesto saya telah diputarbelitkan sedangkan ia telah dilaksanakan sejak dulu lagi tanpa gagal dan ia dinikmati semua golongan tanpa mengira fahaman politik sejak saya menjadi ketua bahagian dan anggota Parlimen (Tangga Batu). Ia bukan untuk meraih undi atau sokongan perwakilan dalam merebut jawatan yang dipertandingkan.


“Manifesto berkenaan bukan saya yang sebarkan seperti didakwa Anggota Jawatankuasa Umno Bahagian Tangga Batu, sepatutnya sebelum sesuatu dakwaan berkenaan dilemparkan ia perlu disemak fakta dan kesahihannya,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini, hari ini. – Bernama


[Artikel berkaitan: Mohon Umno Pusat batalkan kelayakan Idris bertanding]


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]