Ini jawapan Najib berkenaan rampasan barang kemasnya

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjelaskan nilai barangan- terutamanya barang kemas dirampas pihak polis adalah subjektif dan tidak realistik.


Memetik laporan Malaysiakini, Najib berkata, nilai bagi barangan dirampas itu subjektif kerana terdapat batu pada barang kemas yang dirampas itu berusia kira-kira 20 tahun.


Malah, nilai ketika sesebuah barangan itu dibeli juga perlu diambil kira, kata Ahli Parlimen Pekan itu lagi.


“Ia bergantung kepada sumber sesebuah batu. Ia juga bergantung, bila ia dihadiahkan atau bila ia dibeli. Penilaian bagi barangan tersebut boleh berubah.


“Jadi janganlah kita terlalu teruja. Biar kita lihat barang-barang itu setiap satu barangan tersebut.


“Kami harap ada peluang ia dibuat penilaian dan kita boleh buat kesimpulan berhubung sumber barangan tersebut serta dapat penjelasan mengenai barangan yang telah dirampas oleh pihak polis,” kata Najib dalam wawancara bersama Malaysiakini.


Najib berkata, seperti para suami yang lain beliau tidak tahu secara menyeluruh sebanyak mana koleksi barangan kemas serta barangan lain yang dimiliki isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.


Menurutnya, beliau juga tidak diberi senarai lengkap tentang barangan disita semasa serbuan polis di rumahnya di Jalan Duta serta di tiga unit kondominium di Pavillion Residences di Kuala Lumpur pada bulan lalu.


Kata bekas perdana menteri itu, beliau hanya diberi senarai tidak lengkap beserta penerangan tidak jelas tanpa gambar barangan dirampas


“Tetapi apa yang saya tahu, selama bertahun-tahun sebagai ketua kerajaan, kami dihadiahkan dengan pelbagai barangan oleh pemimpin antarabangsa serta rakan-rakan peribadi.


“Saya tahu ia tidak menyalahi undang-undang untuk menerima hadiah. Sebagai contoh, Tun Dr Mahathir mengaku beliau menerima 40 ekor kuda daripada rakannya dan beliau juga secara terbuka menggunakan banyak jet korporat kawannya. Jadi ia tidak menyalahi undang-undang untuk menerima hadiah,” ujarnya.


Najib sebelum ini pernah menjadi Menteri Besar Pahang pada 1982 dan kemudian beliau memegang portfolio sebagai menteri.


Beliau juga pernah berkhidmat sebagai timbalan perdana menteri selama lima tahun serta menjadi perdana menteri selama sembilan tahun.


[ARTIKEL BERKAITAN: KJ mahu Najib jawab isu rampasan RM1.1bilion]


[ARTIKEL BERKAITAN: 1MDB : Nilai rampasan sehingga RM1.1 bilion]


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]