Kerajaan negeri dengar suara rakyat

in Edisi Terengganu by


KUALA NERUS – Kerajaan negeri  akan mengambil kira pandangan penduduk sebelum melaksanakan sebarang projek yang melibatkan kepentingan awam pada masa akan datang.


Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, langkah itu perlu bagi memastikan setiap projek yang akan dilaksanakan nanti tidak memberi kesan negatif atau menimbulkan masalah kepada komuniti setempat.


Menurutnya, ada projek (yang ingin dilaksanakan) memerlukan keajaan negeri mengadakan perbincangan secara teliti dengan penduduk dan ada juga sebaliknya.


“Jadi, apabila projek yang ingin dilaksanakan melibatkan kepentingan awam semestinya kita akan mengambil kira pandangan orang ramai terutamanya bagi projek yang terletak di kawasan penempatan penduduk,”katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui sebaik selesai menghadiri Majlis Taklimat Daerah Kuala Nerus di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, di sini, semalam.


Sementara itu, Ahmad Samsuri turut memaklumkan projek pembinaan infrastruktur dan utiliti Kompleks Maintainace, Repair dan Overhaul (MRO) dan Hab Kargo Udara di Gong Kuin, Seberang Takir akan dikaji semula.


Jelas beliau, pihaknya menerima banyak aduan berhubung projek yang mula dilaksanakan Disember tahun lalu itu khususnya daripada penduduk setempat.


“Kita sedia maklum mengenai aduan daripada penduduk yang terkesan daripada projek berkenaan, di mana kediaman berhampiran tapak projek mengalami keretakan teruk.


“Jadi, kita terpaksa memikirkan pilihan lain sama lain dan mengkaji kembali tapak projek berkenaan.


“Malah, projek itu juga merupakan salah satu projek yang gagal disiapkan dalam tempoh ditetapkan,”katanya.


Sinar Harian 18 Januari lalu melaporkan ketenangan hidup lima beranak di Kampung Wakaf Baru, di sini, bertukar menjadi mimpi ngeri apabila kediaman yang diduduki sejak lima tahun lalu kini mengalami kerosakan teruk pada dinding, lantai dan pagar rumah.


Ia dipercayai berpunca daripada kerja-kerja penanaman panel konkrit bagi  yang bermula Disember lalu.


Pemilik kediaman berkenaan, Zul-Atfi Hashim berkata, masalah keretakan pada kediamannya mula dikesan pada Disember lalu hingga mengakibatkan seluruh ahli keluarganya hidup dalam kebimbangan.


“Bayangkan dalam tempoh sebulan lebih kesan yang terpaksa ditanggung kami begitu parah punca daripada kerja mengorek longkang untuk menanam panel konkrit.


“Ini kerana projek yang sedang berjalan ini begitu hampir dengan kediaman saya hingga mengakibatkan seluruh ahli keluarga saya merasa terancam serta memberi tekanan emosi.


“Bagaimana kami hendak meneruskan hidup seperti biasa sekiranya keretakan yang berlaku pada rumah kini semakin ketara dan membimbangkan.


“Saya sangat kesal dengan pihak yang terlibat dengan pelaksanaan projek ini kerana tidak mengambil kira kepentingan awal terlebih dahulu sebelum sesebuah projek ingin dijalankan,”katanya.


Menurut Zul-Atfi lagi, susulan daripada kerosakan pada rumah yang dialaminya itu, dia turut membuat aduan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Terengganu dan pad 2 Januari lalu beberapa orang yang mewakili pelbagai pihak termasuk  kontraktor mengunjungi rumahnya bagi melihat sendiri kesan daripadanya projek berkenaan.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]