Kombinasi pengalaman, idea formula terbaik Umno

in Politik by


KUALA LUMPUR – Pengalaman orang lama dan idea pemimpin muda adalah satu kombinasi terbaik dalam usaha pembaharuan dan pemulihan Umno dalam pasca PRU14 ini.


Calon Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib berkata, gabungan barisan pemimpin dua aliran generasi itu adalah formula ampuh dan terbaik untuk memastikan parti kembali bangkit dan membina semula keyakinan rakyat.


“Jika hanya orang muda sahaja dipilih untuk memimpin Umno atas alasan untuk meremajakan parti dan menarik sokongan generasi muda, ia akan menjadi pincang kerana kurangnya pengalaman kepimpinan.


“Tapi kalau hanya orang lama sahaja yang diangkat jadi pemimpin Umno, juga tak elok sebab percambahan idea-idea baharu untuk parti mungkin kurang dan Umno akan dilihat berada pada takuk lama sahaja.


“Jadi kolaborasi pemimpin lama yang berpengalaman dengan tenaga muda yang idealis dan bersemangat waja amat perlu untuk membarisi barisan MT Umno,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.


Jelas Ismail yang juga Ahli Parlimen Maran berkata, kekuatan MT untuk sesi 2018 – 2021 ini perlu diperkasakan untuk menjadi platform penasihat berkualiti kepada pucuk pimpinan utama parti seperti presiden, timbalan presiden dan naib-naib presiden Umno.


Ujar beliau, dengan kemantapan barisan MT Umno yang baharu ini akan menjadi pemangkin kepada kebangkitan parti selepas kekalahan pada PRU14 lalu.


“Barisan MT Umno kali ini perlu memastikan mereka mampu menjadi penasihat dan juga kumpulan sokongan yang mantap, berwibawa dan berkualiti kepada pucuk tertinggi pimpinan Umno.


“Mereka perlu memberikan pandangan terbaik dan tidak lagi sekadar mengikut arus sahaja,” jelasnya.


Ketika mengulas keputusan bertanding kerusi MT pada pemilihan kali ini, Ismail yang juga Ketua Umno Bahagian Maran berkata, matlamatnya adalah untuk terus membawa suara rakyat ke peringkat teratas seperti dalam Dewan Rakyat.


Kata beliau, dengan kedudukan sebagai ahli MT (sekiranya dipilih) dan Ahli Parlimen Umno, beliau mempunyai platform yang luas untuk memperjuangkan nasib rakyat.


“Sebagai ahli Parlimen saya boleh membahas dan menyokong isu-isu rakyat yang dibincangkan dalam parti di Dewan Rakyat sekiranya diberi kepercayaan untuk menganggotai MT.


“Dengan cara ini keberkesanan sebagaiĀ  barisan pembangkang dalam Dewan Rakyat akan lebih baik dan berkualiti,” ujarnya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]