Masalah kedudukan jambatan angkat selesai

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri telah pun menyelesaikan masalah kedudukan jambatan angkat atau drawbridge yang menganggu pergerakan kapal yang menjadi pengangkutan pekerja pelantar minyak sebelum ini yang menjadi isu berbangkit mengenai projek berkenaan.


Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata,  jambatan ikonik berkenaan yang masih lagi dalam pembinaan, sebelum ini terpalit dengan beberapa isu berbangkit di mana ia sedikit sebanyak menganggu pergerakan kapal yang terpaksa mengambil penumpang iaitu pekerja-pekerja di pelantar minyak.


“Bagaimanapun perkara itu telah dibincang dan diselesaikan sehinggalah buat masa ini, kapal yang megambil penumpang (pekerja) di pelantar minyak berkenaan tidak lagi mempunyai masalah untuk keluar masuk sebagaimana sebelumnya.


“Kita juga menjangkakan dalam tempoh tahun ini untuk menyiapkan jambatan angkat itu,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Hari Raya Aidilfitri Wisma Negeri di pekarangan wisma berkenaan, di sini, semalam.


Turut hadir, isteri menteri besar, Tuan Faizah Ab Rahman serta ketua-ketua jabatan terlibat.


Dalam masa sama, Ahmad Samsuri berkata, Universiti al-Quran di Kuala Berang, Hulu Terengganu yang sebelum ini dicadang mantan Adun Ajil, Ghazali Taib sedang diteliti.


“Berhubung universiti al-Quran, kita masih sedang meneliti perkembangan tentang apa yang ingin dilakukan itu kerana sekarang ini, kerajaan pun baru dalam tempoh sebulan setengah dan kita sedang meneliti banyak perkara,” katanya.


Bagaimanapun, Ahmad Samsuri menegaskan, kebanyakan inisiatif dan cadangan yang baik serta rangka dalam pentadbiran lepas kita akan teruskan malah itu adalah komitmen kerajaan hari ini.


Ahmad Samsuri turut berkata, mana-mana projek yang dirangka dan sedang berjalan serta tidak mempunyai limpahan ekonomi terus kepada rakyat, kerajaan akan perbaiki semula supaya ada kesan baik kepada rakyat.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]