Pantau ketat semua projek pembangunan

in Edisi Terengganu by


KUALA NERUS – Kerajaan negeri akan memantau secara serius semua projek pembangunan yang dilaksanakan di daerah ini bagi memastikan ia dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan.


Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pemantauan secara kerap itu dibuat memandangkan ada beberapa projek yang lewat daripada tarikh sepatutnya.


“Hari ini saya diberi taklimat mengenai projek pembangunan di Kuala Nerus dan kita akan teliti semua projek yang sedang dijalankan.


“Selain projek sedia ada diteruskan seperti biasa, kita juga akan pantau secara lebih kerap semua projek yang dilaksanakan supaya tidak berlaku kelewatan.


“Malah, kita juga dapati ada beberapa projek yang gagal disiapkan dalam tempoh ditetapkan dan kita pandang serius perkara ini,”katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Hari Raya Aidilfitri Daerah Kuala Nerus di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, di sini.


Hadir sama, Pegawai Daerah Kuala Nerus, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abd Jalil, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Dr Alias Razak, Adun Tepuh, Hishamuddin Abdul Karim dan ketua-ketua jabatan lain.


Sementara itu, kira-kira 5,000 tetamu hadir pada majlis jamuan berkenaan.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]