Pesara kastam kongsi kenangan

in Edisi Utara by


SUNGAI PETANI – Majlis Sambutan Aidilfitri Pesara Jabatan Kastam Diraja Malaysia Zon Utara meriah dengan kehadiran kira-kira 150 ahli Persatuan Pesara Kastam (Perbekas) yang rata-rata berusia sekitar 60-an dan 70-an.


Jawatankuasa Penganjur, Othman Husein berkata, banyak perkara yang dibualkan antaranya berkenaan tahap kesihatan masing-masing serta keadaan ahli keluarga malah berita kematian rakan seperjuangan juga sering menjadi perkongsian.


“Bila dah bersara ni tak kira pangkat dan kedudukan, masing-masing duduk sekali dan bersembang rancak,” katanya.


Beliau berkata, paling terharu ialah melihat kesungguhan bekas rakan sekerja yang datang dari jauh terutama Johor menggunakan pengangkutan awam dan memandu kenderaan semata-mata ingin bertemu antara satu sama lain.


“Paling lama tak jumpa antara 10 hingga 15 tahun, itu yang membuatkan masing-masing teruja,” katanya.


Menurutnya, ada sebilangan bekas pekerja terpaksa diingatkan antara satu sama lain memandangkan ramai yang sudah lupa rupa dan perwatakan.


Majlis yang berlangsung di Restoran Alunan Klasik, Amanjaya itu dimulakan dengan sesi pendaftaran, majlis tahlil, jamuan makan dan sesi bergambar.


Hadir sama Mantan Pengarah Kastam Pulau Pinang, Datuk Ahmad Kamaruddin Ismail.


“Tahun lepas, kita anjurkan di Permatang Pauh, Pulau Pinang, Insya-ALLAH ia akan diteruskan pada masa akan datang dengan pelbagai pengisian bermanfaat,” katanya.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]