Polis akan panggil Najib, Rosmah

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor akan dipanggil dalam masa terdekat untuk dirakam keterangan berhubung siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata, polis akan meneruskan siasatan ke atas kedua-dua mereka.


“Ya, kami akan memanggil Najib dan Rosmah untuk dirakam keterangan untuk siasatan dan akan dipanggil dalam masa terdekat ini.


“Malah, kita juga masih menyiasat kaitan dokumen-dokumen yang dirampas berkenaan dengan skandal 1MDB.


“Kita sedang kenal pasti siapa penyumbang atau sumber kepada barang-barang yang dirampas untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan,” katanya dalam sidang media di Menata 238, di sini, hari ini.


Ketika ditanya tentang dakwaan wang yang dirampas adalah milik Umno, Amar Singh berkata, tiada bukti tentang perkara itu.


“Tidak ada cop Umno pada duit itu,” katanya dalam nada bergurau dan sebelum menegaskan sekiranya ada individu yang mengatakan sedemikian, polis akan rakam keterangannya bagi bantu siasatan.


Ditanya mengenai khabar angin yang tersebar luas kononnya Ahli Parlimen Pekan itu akan ditangkap, Amar Singh menjawab perkara itu masih di luar pengetahuannya.


Dalam pada itu, beliau turut mengesahkan, lebih daripada 30 individu telah dipanggil bagi membantu siasatan 1MDB.

 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]