Remaja 17 tahun dikhuatiri hilang

in Edisi Utara by


ALOR SETAR – Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dari Taman Shopia, di sini, dikhuatiri hilang selepas tidak pulang ke rumah sejak Ahad lepas.


Bapanya, Mohd Sobri Hashim, 52, berkata, dia menyedari kehilangan anak bongsu dari empat adik beradik itu, Muhammad Hateem itu selepas dimaklumkan rakan anaknya.


Sobri berkata, dia mendapati anak lelakinya itu memakai baju sekolah dan membawa beg sekolah seperti biasa pada hari kejadian sebelum keluar dari rumah mereka dua hari lepas.


“Dia pakai baju sekolah dengan ‘t-shirt di bahagian dalam. Malah, dia galas bag. Jadi, saya ingat dia pi sekolah macam biasa di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Mohamed Al-Bukhary.


“Apabila melihat dia berpakaian sedemikian dengan t-shirt di bahagian dalam, kami ingat disebabkan hari dia ada aktiviti lain, iaitu membaca al-Quran seperti biasa,jadi saya pun tak periksa beg Hateem,”katanya.


Katanya,  dia tidak menyedari anak lelakinya tidak pulang sehinggalah dimaklumkan rakan anaknya yang tidak nampak kelibat Hateem di kawasan sekolah.


“Kami ingat dia pi sekolah sendiri naik motosikal macam biasa, namun kami mula tertanya-tanya apabila anak tak balik rumah dan risau keadaannya sekarang,”katanya.


Menurut Sobri, mereka sekeluarga kini bimbang berlaku sesuatu terhadap anak lelakinya yang masih tidak pulang ke rumah sejak tiga hari lepas itu.


Sebelum itu, keluarga Sobri memuat naik mesej berkaitan kehilangan anak lelakinya sebelum ia tular dan dikongsi ramai melalui WhatsApp dan Facebook.


Menurutnya, dia merayu kepada orang ramai khususnya netizen supaya tidak membuat sebarangan andaian berkaitan kehilangan Hateem bersama motosikal dibawa remaja itu.


“Kami sekeluarga sudah cukup bimbang apa yang berlaku, bagaimana keadaan Hateem sekarang. Jadi, kami mohon supaya tidak menambah kerisauan kami,”katanya.


Sehubungan itu, katanya, dia meminta bantuan orang ramai supaya menghubungi mereka sekeluarga sekiranya mendapat maklumat mengenai anak lelakinya.


Bagi mereka memiliki maklumat berkaitan anak lelakinya atau ada bertemu remaja berkenaan boleh menghubungi Sobri ditalian 019-5424867.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]