Tanggung RM18 juta setahun

in Edisi Utara by


ALOR SETAR – Pakatan Harapan akan mengkaji semula insentif dilaksanakan kerajaan negeri di bawah kepimpinan BN yang memberi pengecualian caj bekalan air bagi penggunaan maksimum 20 meter padu.


Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pihaknya mendapati terdapat beberapa masalah berkaitan janji dibuat kerajaan terdahulu sehingga menjadi bebanan kewangan kerajaan negeri di bawah pentadbirannya.


Menurutnya, kesan daripada insentif air percuma itu, hampir separuh daripada pengguna air di negeri iaitu melibatkan hampir 222,000 akaun menerima pengecualian caj bekalan air atau kos pengguna domestik yang memiliki bil bulanan tidak melebihi RM10 dianggar berjumlah RM1.5 juta sebulan atau RM18 juta setahun.


“Ramai daripada mereka yang menerima manfaat ini bukanlah dalam kalangan berpendapatan rendah atau susah. Mungkin, ada daripada mereka sudah bersara dan hanya tinggal dua orang di rumah, penggunaan bekalan air terhad. Padahal, pendapatan mereka masih tinggi.


“Insentif perlu dikaji semula dan diperhalusi supaya bantuan ini hanya disalurkan kepada keluarga yang betul-betul susah dan menepati,” katanya, kepada media, selepas mesyuarat Exco, di Wisma Darul Aman, di sini, petang tadi.


Beliau berkata, kerajaan negeri terpaksa menampung kos kegunaan air berkenaan dengan membuatkan bayaran kepada Syarikat Air Darul Aman (Sada).


“Maklumlah, kita ini bukanlah negeri yang berpendapatan tinggi seperti beberapa negeri lain, tambah pula ia tidak menepati sasaran  bantu golongan susah.


“Susulan itu, kerajaan negeri akan mempertimbangkan semula pendekatan ini, mahu melihat apa cara lebih baik untuk digunakan untuk membantu masyarakat memerlukan,” katanya.


Bagaimanapun, buat masa ini, Mukhriz berkata, insentif itu akan diteruskan dan kerajaan negeri akan menanggung kos dengan membuatkan bayaran kepada Sada.


“Kaji semula insentif ini akan dilakukan secepat mungkin untuk mencari salah satu kaedah penyelesaian seperti menggunakan senarai e-Kasih bagi mengenal pasti keluarga termiskin yang berdaftar,” katanya.


Tahun lalu, mantan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengumumkan khabar gembira pengecualian caj bekalan air itu untuk rakyat negeri selepas dibentangkan Bajet Kedah 2018 pada persidangan Dun.


Insentif itu berkuatkuasa sejak Januari tahun ini, sebagai langkah kerajaan negeri menggalakkan penjimatan penggunaan air bersih terawat dan meningkatkan kapasiti margin simpanan di kolam takungan.


Pengguna yang menggunakan air kurang daripada 20 meter padu atau RM10 ke bawah boleh mendapat pengecualian bayaran bil.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]