Yusri ikrar berjuang selamatkan Kelantan

in Sukan by


KOTA BHARU – Yusri Che Lah menegaskan akan terus berjuang menyelamatkan maruah Kelantan yang dilihat semakin hampiri ke pentas Liga Perdana musim depan ketika saingan Liga Super hanya berbaki lima perlawanan lagi.  


Pemangku jurulatih The Red Warriors itu berkata, dia tidak akan menyerah kalah sebaliknya akan berusaha sedaya-upaya memastikan pasukan kendaliannya menamatkan kempen sukar musim ini dalam kelompok 10 pasukan terakhir.


“Kita ada dua perlawanan di tempat sendiri menentang Selangor dan Melaka United dan perlu mendapatkan mata maksimum sebaik mungkin untuk mendekatkan diri dengan kelompok 10 terbaik selain berharap dapat memberi tekanan ke atas PKNP FC.


“Saya tak akan mengalah dan akan terus menggunakan sumber (pemain) yang ada bagi memikul tanggungjawab diamanahkan Presiden Kafa (Bibi Ramjani Ilias Khan) selepas Kelantan hilang ketua jurulatih,” katanya dalam sidang media sejurus perlawanan.


Misi skuad pantai timur itu untuk kekal dalam kancah liga domestik utama semakin kelam selepas mencatatkan kekalahan ke-12 dan kali ini tunduk 0-1 kepada Perak menerusi sepakan penalti Leandro Dos Santos, minit ke-70 di Ipoh, malam kelmarin.


Mengulas kekalahan tersebut, pengendali berusia 42 tahun itu mengakui kegagalan meraih sekurang-kurangnya satu mata cukup memeritkan namun dia pasrah selepas melihat barisan pemainnya berusaha keras menyaingi skuad The Bos Gaurus.


“Mereka beraksi mengikut taktikal disiplin yang saya terapkan apabila kita berjaya menggagalkan semua peluang Perak dan hanya memberi sedikit ruang kepada lawan menjaringkan gol.


“Namun sedikit kesilapan kita dihukum apabila menghadiahkan sepakan penalti kepada tuan rumah. Sebelum itu, kita ada satu peluang yang mungkin boleh mengubah situasi perlawanan tetapi sekali lagi kematangan pemain gagal membuahkan hasil,” katanya.


Menurut jurulatih itu lagi, dia berharap anak didiknya menjadikan kekalahan tersebut satu pengajaran untuk menampilkan kebangkitan dalam pertemuan menentang Selangor dan Melaka United.  


“Kem pasukan tak ada masalah cuma kita kekurangan pemain import dan tempatan yang ada. Nampak kelemahan pasukan masih lagi terbuka dan ini yang perlu kita atasi, biarpun hanya (bergantung pada) pemain muda untuk menghabiskan baki perlawanan nanti,” katanya.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]