60 balai bomba akan dipindahkan, dibina semula

in Edisi Pahang by


TEMERLOH – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengenal pasti lebih 60 balai bomba di seluruh negara yang perlu dipindahkan dan dibina semula berikutan faktor lokasi dan pembangunan di lokasi terlibat.


Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, pemindahan dan pembinaan semula balai terlibat dijangka akan siap sepenuhnya dalam tempoh lima tahun.


Menurutnya, sebelum ini balai berkenaan dibina sebelum pembangunan berlaku di kawasan tersebut.


“Ada balai yang uzur, tersepit di kawasan dan lot kedai .Jadi kita akan pindah dan bina semula di lokasi sesuai.


“Kita jangkakan tempoh pemindahan dan bina semula dalam tempoh lima tahun,”katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Angin Temerloh hari ini.


Hadir sama,Ketua Setiausaha KPKT,Datuk Seri Mohamad Mentek,Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),Muhammad Hamdan Wahid dan JPBM Pahang,Datuk Abdul Wahab Mat Yasin.


Dalam pada itu, Zuraida turut memberitahu sebanyak 240 pembinaan balai bomba baharu dalam tempoh sama bagi memperkasakan lagi perkhidmatan  JBPM di seluruh negara.


“Kita belum memuktamadkan lagi jumlah kos sebenar tetapi secara purata setiap balai bomba dianggarkarn  kira-kira RM14 juta dan pada masa ini sebanyak 44 balai bomba sedang dalam proses pembinaan.


Balai Bomba Bukit Angin Temerloh yang bernilai RM14 juta siap pada 13 September 2013 dengan kapasiti 51 anggota.


Pada masa ini terdapat 290 buah balai bomba di seluruh negara dengan 14,000 anggota dan pegawai tetap.


Source: SH Edisi Pahang

[featured-video-plus]