Annuar Musa tarik diri bertanding Presiden FAM

in Sukan by


KETUA Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa hari ini mengumumkan menarik diri daripada bertanding jawatan presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi memberi sepenuh tumpuan terhadap pemilihan Umno.


Annuar yang juga calon timbalan presiden Umno berkata keputusannya itu adalah atas komitmen yang diperlukan untuk memberi tumpuan penuh kepada Umno.


“Saya perlu memberi tumpuan, masa dan tenaga tidak berbelah bahagi dalam proses untuk memperkasakan Umno.”


“Apabila saya tidak terlibat dalam pengurusan bola sepak maka dapatlah saya memberi segala tumpuan yang diperlukan dalam usaha memulih dan memperkasakan Umno,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.


Beliau yang merupakan bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) berkata keputusannya itu juga adalah untuk memberi laluan kepada  Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin supaya dipilih sebagai Presiden FAM tanpa bertanding.


Annuar berkata selepas menghantar borang menerima pencalonan jawatan itu pada 1 Jun lepas, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim serta dengan anggota kongres FAM di kalangan persatuan bola sepak negeri.


“Dalam perbincangan itu khususnya dengan TMJ, saya telah diberi nasihat dan pandangan yang saya sangat hargai khususnya TMJ sendiri sebagai seorang yang masih terlibat dengan bola sepak negara.


“Selepas berfikir secara mendalam saya mengambil keputusan  untuk memberi laluan kepada Hamidin supaya dipilih sebagai Presiden FAM tanpa bertanding,” katanya.


Pemilihan jawatan dalam Persatuan FAM akan diadakan pada Kongres FAM Ke-54 pada 14 Julai depan.


Annuar berkata  keputusannya itu turut didorong komitmennya sebagai Anggota Parlimen Ketereh terutama sebagai pembangkang di Parlimen.


“Saya merasakan perlu memberikan tumpuan membentuk barisan pembangkang yang kuat, berwibawa dan berkeupayaan tinggi kerana rakyat sangat memerlukan jurubicara membawa suara rakyat ke Parlimen,” kata Annuar. –  Bernama


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]