Beku akaun cubaan serang, haram Umno

in Politik by


BAGAN SERAI – Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan akaun bank Umno Pusat dan beberapa negeri lain hari ini merupakan petanda jelas Umno ‘diserang’ pihak lawan yang cuba hendak mengharamkan penubuhannya.


Calon Presiden Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, perkara itu dimaklumkan hari ini dan sehingga kini, selain Umno Pusat dan Umno Selangor, beberapa akaun Umno negeri lain seperti Pulau Pinang dan Johor difahamkan turut dibekukan pihak berkuasa terbabit


Menurutnya, pihaknya percaya tindakan itu dibuat atas alasan Umno terbabit dikaitkan dengan kes tumpuan utama siasatan SPRM ketika ini, dipercayai 1MDB.


“Senario itu membuktikan Umno kini sedang diserang di mana langkah membekukan akaun bank Umno adalah permulaan kepada usaha mengharamkan parti itu pada masa hadapan.


“Kalau saya dipilih sebagai Presiden Umno pada 30 Jun ini, saya akan berusaha apa sahaja bagi mengelakkan parti Umno daripada diharamkan.


“Kalau perlu diadakan perjumpaan dengan pihak berkuasa dan kerajaan, saya akan tampil berjumpa mereka dan berbincang bagi menjelaskan Umno tidak terlibat dengan sebarang siasatan kes dijalankan pihak berkuasa ketika ini,” katanya pada sidang media pada majlis ‘Sepetang Bersama KJ’ bersama ahli-ahli beberapa Umno bahagian di Perak Utara, di sini hari ini.


Khairy berkata, sebarang siasatan kes berkaitan yang sedang dijalankan SPRM sebenarnya tidak melibatkan kepentingan Umno.


Menurutnya, kalau ada sumbangan melibatkan sumber kes tertentu disiasat terhadap Umno, beliau berharap mereka memberi perincian terhadap parti.


“Mungkin terdapat andaian ada antara pihak kita terima sumbangan dari sumber kes disiasat, namun tidak wajar tindakan itu menjejaskan keseluruhan kedudukan parti kita.


“Sekiranya saya terpilih menjadi Presiden Umno, perkara pertama kita akan pastikan bahawa kita akan berusaha melindungi parti Umno daripada sebarang tindakan pembekuan aset memandangkan Umno bukan pihak disiasat,” katanya.


Khairy turut berikrar bersedia berjumpa dengan semua pihak berkuasa terlibat serta Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi memastikan Umno tidak dikaitkan atau cuba diharamkan atas alasan ada kaitan dengan kes sedang disiasat.


“Pertama, kita akan minta khidmat nasihat dengan biro guaman, selepas itu akan berbincang dengan semua pihak berkuasa terlibat atau bertemu dengan Tun Dr Mahathir.


“Buat masa ini, kita tidak pasti sama ada akan ada akaun Umno lain lagi akan disiasat namun apa yang pasti, tindakan pembekuan akaun parti memberi kesan besar kepada persiapan parti bagi menghadapi PRU15.


“Hal ini kerana sumber kewangan sedia ada adalah penting untuk membantu pembiayaan wakil rakyat Umno dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat selain melancarkan pergerakan parti di peringkat akar umbi,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]