Elak politik wang, cai dalam pemilihan

in Politik by


PUCHONG – Umno tidak akan berubah sekiranya masih wujud budaya ‘politik wang’,  kem tertentu dan senarai barisan kepimpinan yang dipanggil ‘cai’ atau ‘rakit’ dalam pemilihan parti, Sabtu ini.


Calon Ketua Umno Bahagian Puchong, Mohamad Yusof Mohamed Yassin berkata, ‘cai’, ‘rakit’ dan sebagainya, kaedah lama digunakan dalam pemilihan sedangkan parti itu memerlukan perubahan sepenuhnya.


Beliau berkata, pada pemilihan kali ini, perwakilan perlu pilih dan tentukan sendiri pemimpin yang mereka mahukan untuk membina semula parti selepas kekalahan besar pada PRU14 lalu.


“Saya harap tiada lagi ‘cai’, ‘rakit’ dan sebagainya masa pemilihan nanti. Nak mulakan perubahan kena mula dari pemilihan, kalau wujud benda-benda ni tak adalah perubahan. Kita mahu perwakilan pilih dan tentukan sendiri pemimpin walaupun ramai kata perwakilan tidak sempat menilai calon,” katanya.


Mengulas isu politik wang, Yusof berkata, jika masih berterusan akhirnya keadaan parti akan sama seperti dahulu, pemimpin yang salah dan  tidak sepatutnya akan diletakkan hanya kerana duit.


“Saya tak nafikan benda ini berlaku dalam pemilihan bahagian, walaupun secara tak langsung ia wujud sedangkan tak sepatutnya berlaku sama ada dalam pemilihan peringkat bahagian atau majlis tertinggi.


“Kalau berlaku juga lagi maka rosaklah cara kita meletakkan pemimpin Umno,” katanya.


Yusof berkata, perwakilan perlu nilai dan pilih pemimpin yang membawa agenda perubahan jika mahu parti itu bangkit semula.


“Kalau betul-betul nak bangkit, betulkan balik Umno, betulkan Umno bahagian, kembalikan keyakinan ahli kepada kita malah buat gerak kerja ke arah PRU mulai sekarang bukan masa tiba pilihan raya saja.


“Kita tidak memerintah sekarang, kena jadi pembangkang yang efektif dalam masa sama teruskan khidmat kepada rakyat. Kalau istiqamah, selari peringkat Pusat, bahagian dan cawangan insya-ALLAH kebangkitan akan berlaku,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]