Jam tangan Rolex Daytona hadiah dari putera: Najib

in Nasional by


SHAH ALAM – Jam tangan Rolex Daytona yang dikatakan bernilai RM3.4 juta merupakan antara hadiah diterima bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak daripada seorang menteri dalam negeri yang juga putera dari sebuah negara di Asia Barat.


Najib berkata, jam itu diterimanya bersama beberapa barangan berharga lain ketika menteri berkenaan melawat Malaysia Mac lalu.


Najib mendakwa, kebanyakan barangan yang disita polis adalah hadiah dari rakan-rakan, kehormat asing termasuk royalti untuk pelbagai majlis antaranya lawatan rasmi dan acara keluarga seperti hari jadi, ulang tahun perkahwinan dan pertunangan.


“Polis sepatutnya menyatakan item ini bersama dengan beberapa barangan lain yang berada dalam kotak dengan lambang diraja negara asing itu. Fakta ini tidak sepatutnya ditinggalkan.


“Beberapa barangan yang dirampas adalah milik saudara-mara dan pihak ketiga. Mereka kini telah memulakan proses undang-undang untuk menuntut barangan mereka dari pihak polis,” katanya dalam kenyataan media hari ini.


Dalam pada itu, beliau turut mempertikaikan kuantiti dan penilaian dibuat polis terhadap barangan yang disita dari kediamannya dalam sidang akhbar semalam.


“Penilaian sedemikian adalah subjektif dan tertakluk kepada masa hadiah itu diberikan.


“Memandangkan sebahagian besar barangan adalah hadiah yang terkumpul selama beberapa dekad, keluarga tidak menyedari betapa banyaknya yang dibayar oleh mereka yang memberikan barang-barang tersebut,” katanya.


Bekas Presiden Umno itu berkata, banyak barangan yang disita polis itu juga diletakkan di dalam kotak yang sudah dilabelkan pegawai bertugas dengan keterangan, foto, tarikh pemberian dan identiti individu yang memberikan hadiah itu.


“Jika polis menghubungi keluarga kami bertanyakan perkara ini, kami akan memberikan kerjasama sepenuhnya. Dengan sedaya upaya, kami akan membantu polis mengenal pasti siapa yang memberikan hadiah sepanjang dekad ini,” katanya.


Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata, nilai barangan rampasan dalam siasatan terhadap Najib berjumlah RM900 juta hingga RM1.1 bilion.


Semua barang yang dirampas mengambil masa selama 36 hari untuk dikira oleh lapan pasukan khas yang melibatkan 150 anggota dan beberapa pakar barangan berjenama bagi mengira 12,000 jenis barangan kemas dalam 25 daripada 72 beg yang dirampas.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]