Kantoi edar air lalok

in Edisi Selangor KL by


AMPANG – Sepasang kekasih yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah diberkas sepasukan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Ampang Jaya, di Pandan Perdana, Selasa, lalu.


Difahamkan aktiviti pasangan terbabit dikesan aktif sejak tiga bulan yang lalu.


Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, pasangan berusia dalam lingkungan 30-an itu ditahan di dalam sebuah kereta di tepi jalan di Pandan Perdana.


“Siasatan lanjut menemui dua biji pil warna merah jambu dipercayai esctacy, 20 paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki mengandungi dadah jenis syabu, 50 biji pil disyaki erimin 5, 10 biji pil warna kuning disyaki esctacy, lapan biji pil warna hijau juga disyaki esctasy dan sebotol air yang dipercayai mengandungi dadah esctacy,” katanya.


Hamzah berkata, tindakan lanjut, sepasukan polis turut membuat serbuan di sebuah rumah di Pandan Indah.


“Pemeriksaan di dalam rumah  menemui 45 paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah syabu, 120 pil disyaki Erimin 5, 68 biji pil dipercayai esctasy, 40 paket aluminium foil berisi serbuk disyaki esctacy dan enam botol dipercayai berisi cecair disyaki dadah esctacy,” katanya.


Beliau berkata, nilai rampasan dianggarkan RM20,820.


“Kita percaya suspek mengedar dadah di sekitar Lembah Kelang dan Cheras dengan harga RM180 untuk sebotol air berisi dadah dan RM180 hingga RM200 untuk serbuk  dadah,” katanya.


Beliau berkata, suspek lelaki mempunyai satu rekod jenayah lampau, manakala pasangannya  merupakan warga Thailand tidak mempunyai rekod jenayah.


“Ujian urin ke atas suspek lelaki yang ditahan itu positif dadah,” katanya.


Kes disiasat mengikut Seksyen 39B, 39A (1), 12(2) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya..


Dalam kes berasingan, tiga wanita berusia 30 hingga 40 tahun dan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun  ditahan polis di sekitar Ampang, kelmarin, kesemua individu itu ditahan kerana disyaki terlibat dengan pengedaran dadah jenis ganja.


“Semua suspek diberkas di dalam sebuah kenderaan, Pemeriksaan di dalam kenderaan menjumpai dua ketulan mampat dedaun tumbuhan kering dipercayai ganja seberat 2,063 gram, nilai rampasan dianggarkan RM5,000,” katanya.


Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]