Kediaman dipercayai milik Jho Low jadi tumpuan media

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Sebuah apartmen dipercayai milik ahli perniagaan kontroversi Low Taek Jho atau Jho Low, di Jalan Kia Peng di sini menjadi tumpuan media sejak jam 5 petang  tadi susulan gambar serbuan dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.


Serbuan itu dipercayai bagi mencari bukti susulan siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).


Pengawal keselamatan kediaman berkenaan berkata kira-kira lapan kenderaan dipercayai dinaiki oleh pegawai SPRM masuk ke kediaman itu pada jam 10 pagi dan keluar kira-kira jam 2 petang.


Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada serbuan berkenaan ada membawa keluar sebarang barang rampasan.


Memetik laporan portal Free Malaysia Today, beberapa pegawai SPRM terpaksa memecah masuk pintu depan unit itu dan sejumlah wang tunai ditemukan dalam peti simpanan.


Difahamkan, serbuan yang mempunyai waran tersebut dibuat berdasarkan siasatan yang dirumuskan ‘ada sebab logik untuk mengesyaki bahawa maklumat mengenai kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 mungkin berada di premis terbabit’.


Beberapa gambar daripada serbuan tersebut telah tersebar di internet yang menunjukkan mesin pencincang kertas dan peti simpanan di dalam unit tersebut.


Sementara itu tiada sebarang pengesahan dibuat oleh pihak SPRM setakat ini.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]