Kerana RM5,000, rugi lebih RM18,000

in Edisi Pahang by


KUANTAN – Seorang kerani wanita kerugian lebih RM18,000 selepas terpedaya dengan urusan jual beli syiling lama melalui pembeli yang dikenali melalui laman sosial Facebook.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berusia 21 tahun dari Temerloh itu ditawarkan RM5,000 oleh  lelaki yang dikenali kira-kira 15 hari lalu untuk membeli wang syiling lama yang dimiliki.


Menurutnya, mangsa bagaimanapun dikehendaki membuat sejumlah bayaran bagi urusan jual beli tersebut.


“Tertarik dengan tawaran dijanjikan, mangsa membuat pembayaran pertama RM2,500 pada 14 Jun lalu melalui mesin deposit tunai sebuah bank di Temerloh.


“Sehingga 19 Jun lalu, mangsa membuat 10 transaksi pembayaran membabitkan jumlah keseluruhan RM18,210,”katanya.


Mohd Wazir berkata, disebabkan jumlah bayaran dibuat jauh lebih tinggi dengan tawaran dijanjikan, mangsa mula rasa tertipu dan tampil membuat laporan polis.


“Polis kini mengesan suspek yang disyaki menggunakan  nama samaran Mohd Faizali untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu,”katanya.


Source: SH Edisi Pahang

[featured-video-plus]