KK Tampin dijangka beroperasi awal September

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


SEREMBAN РKerja pembaikan Klinik Kesihatan (KK) Tampin yang rosak akibat kebakaran membabitkan farmasi pada  21 Jun lalu akan bermula Julai ini.


Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, pembaikan tersebut mengambil masa kira-kira dua bulan membabitkan anggaran kos RM490,000.


“Kebakaran yang berlaku di KK Tampin hanya melibatkan Unit Farmasi dan Stor Intergrasi (ubat dan bukan ubat) hingga menyebabkan keseluruhan blok Jabatan Pesakit Luar tidak dapat digunakan sehingga disahkan selamat pihak berkuasa,” katanya


Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr Zainuddin Ali, di Wisma Negeri di sini, hari ini.


Katanya, KK Tampin dijangka beroperasi seperti biasa pada Ogos atau awal September ini dan dalam tempoh itu Jabatan Pesakit Luar termasuk semua perkhidmatan dipindahkan serta merta ke Hospital Tampin sehingga kerja pembaikan selesai.


“Kita berharap semua pesakit dan orang ramai bersabar sementara menunggu kerosakan yang berlaku itu siap dibaiki sepenuhnya,” katanya.


Dalam pada itu, Veerapan memberitahu tapak lama Hospital Tampin akan dibangunkan dengan projek Klinik Kesihatan Tampin (jenis 2) yang baharu, bagi mengantikan bangunan lama.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]