Lima dilantik jawatankuasa pemantauan bebas tadbir urus HRDF

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Lima anggota Jawatankuasa Pemantauan Bebas Tadbir Urus dilantik bagi meneliti semula Dana Pembangunan Sumber Manusia (HRDF).


Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran berkata, lima nama yang dimuktamadkan selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) HRDF hari ini termasuk bekas Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Tan Sri Rebecca Fatima Sta Maria dan wartawan veteran R. Nadeswaran.


Menurutnya, tiga lagi anggota jawatankuasa pemantauan itu ialah Pakar Penstruktur dan Pemulihan Hutang Fiona Soh, Pakar Perundangan Messrs Fahri & Co, Fahri Azzat dan Akauntan Pengurusan M. Dhamodaran.


“Jawatankuasa itu diberi masa 100 hari untuk membantu lembaga pengarah HRDF dalam memenuhi tanggungjawab untuk membetulkan kesilapan termasuk dakwaan berlaku penyelewengan.


“Jawatankuasa itu akan menyemak semula semua aspek rangka kerja tabdir urus lembaga untuk memastikan ia (lembaga) berfungsi secara efektif dan efisien dalam menyokong operasi organisasi itu,” katanya di Wisma HRDF di sini.


Minggu lepas, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) HRDF Datuk Vignaesvaran Jeyandran telah meletak jawatan dan Timbalan CEO Lim Kah Cheng mengambil alih sebagai pemangku CEO berkuat kuasa serta-merta.


Ketika ditanya mengenai kedudukan bekas CEO HRDF itu, Kulasegaran berkata ia akan diputuskan oleh jawatankuasa yang telah dilantik, namun beliau mengesahkan bahawa Vignaesvaran bukan lagi antara Ahli Lembaga Pengarah.


Beliau turut mengesahkan bahawa peletakan jawatan tiga pengarah yang didakwa terlibat dalam projek latihan membabitkan penyelewengan RM300 juta milik tabung HRDF itu telah diterima.


Katanya, 15 Ahli Lembaga Pengarah HRDF kini turut terdiri daripada 40 peratus muka baharu.- Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]