Media sosial bantu jejak ibu kandung

in Edisi by


KOTA TINGGI – Selama 24 tahun tidak pernah bersua muka dengan ibu kandung sendiri, seorang pemuda dari Kelantan nekad menjejaki ibu kandungnya yang beralamat di daerah ini.


Pemuda tersebut, Rosham Azua Mohd Roslan, 24, berkata, dia amat bersyukur kerana platform media sosial seperti Facebook banyak membantunya mengesan ibunya itu.


Menurut anak tunggal itu, dia kini hampir dipertemukan dengan ibunya yang bernama Noorlela Buang tinggal di Felda Air Tawar 2 setelah status di Facebook dikongsi di pelbagai laman antaranya Khas Orang Kota Tinggi dan juga Anak Felda.


“Perpisahan ini berlaku ada sebab yang saya tak tahu tapi salah satunya kerana ibu dan ayah bercerai ketika saya dilahirkan. Sejak itu saya tinggal bersama ayah, atuk dan nenek di Kelantan.


“Dari kecil saya tak pernah bersua muka dengan ibu. Dah lama saya nak cari ibu cuma masa tu keadaan kewangan saya tak kukuh lagi. Tambahan pula saya tak bersedia.


“Alamat ibu saya dapat dari pak long. Ayah banyak mendiamkan diri bila saya bertanya tentang ibu. Jadi bila dapat alamat ibu saya terus nekad ke Johor,” katanya.


Rosham Azua berkata, bagaimanapun alamat yang diperoleh kurang jelas menyebabkan dia mengambil inisiatif memuat naik satu-satunya gambar ibunya dan beberapa maklumat di Facebook.


Katanya, kini dia sudah tiga hari berada di Johor dan menumpang sementara di rumah rakannya di Kulai.


“Saya dapat banyak respons yang membantu dari Facebook termasuklah dari jiran ibu yang memberikan maklumat termasuklah nombor telefon melalui aplikasi WhatsApp.


“Saya sudah hubungi ibu namun kini saya dimaklumkan ibu berada di Kuala Berang, Terengganu. Saya juga sudah minta alamatnya dan mungkin esok lusa saya akan pergi ke sana.


“Saya ucap terima kasih kepada semua yang membantu saya memberikan maklumat dan sebagainya. Saya hampir bertemu dengan ibu yang sekian lama tak berjumpa. Hanya ALLAH saja dapat membalas jasa baik semua,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]