Nilai rampasan RM1.1 bilion gemparkan dunia

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Jumlah RM 1.1 bilion yang didedahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui rampasan yang dipercayai berkaitan dengan siasatan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) turut mendapat perhatian luas media luar negara.


Angka yang dinilai cukup besar selain melibatkan bekas pemimpin negara, Datuk Seri Najib Tun Razak itu menjadi berita penting di beberapa portal antarabangsa dan ada menyifatkan ia sebagai yang terburuk dalam sejarah Malaysia.


The New York Times dalam satu laporan mengibaratkan rampasan itu sebagai apa yang didakwa sebagai skandal rasuah melibatkan pencurian berbilion- bilion dana negara.


Malah, laporan itu turut menyebut pendedahan terbaharu itu merungkaikan maklumat lebih mendalam perbelanjaan mewah oleh bekas wanita pertama negara dipercayai merujuk kepada isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor.


Selain The New York Times, sidang media pendedahan tersebut turut mendapat liputan media asing seperti The Telegraph, CNN, Al Jazeera dan beberapa media luar negara lain.


Dalam sidang media tersebut, Pengarah Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh mendedahkan rampasan melibatkan wang tunai, barang kemas, beg tangan, jam tangan dan cermin mata berjenama dalam enam lokasi serbuan.


Paling mencuri tumpuan sudah tentu dengan penemuan sebuah beg tangan berjenama Bijan dengan nilai sekitar RM1.6 juta yang terus menjadi trending di twitter dan perbualan di hampir semua media sosial termasuk facebook dan instagram.


Portal berita Channnel News Asia turut mengeluarkan artikel mengenai beg tangan tersebut dengan tajuk lima perkara mengenai ‘House of Bijan’ : Jenama beg tangan yang dirampas dari kediaman Najib Razak.


Laporan tersebut turut menyatakan tidak terkejut jenama Bijan menjadi pilihan Rosmah kerana beliau amat sukakan beg tangan dengan padanan kulit buaya, sama seperti beg Birkin dari jenama Hermes.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]