Perwakilan perlu guna kuasa: KJ

in Politik by


KUANTAN – Perwakilan Umno perlu menggunakan kuasa mereka untuk menentukan barisan kepemimpinan terbaik tanpa perlu  berpandukan atau  mengikut arahan pemimpin tertentu.


Calon Presiden Umno, Khairy Jamaluddin berkata, sebaliknya perwakilan perlu membuat pilihan terbaik untuk memilih pemimpin yang boleh membawa perubahan dan mampu mengembalikan sokongan rakyat kepada Umno pada PRU15.


Menurutnya, beliau berharap tidak ada arahan daripada pihak atasan supaya perwakilan pilih calon pilihan mereka.


“Biar apa pun senarai nama calon atau ‘cai’ yang perlu diundi  diedarkan mana-mana pihak di peringkat atas menjelang pemilihan parti 30 Jun ini,  ambil saja tapi siapa yang mereka nak pilih, biar perwakilan sendiri tentukan supaya keputusan pemilihan kali ini mencerminkan kehendak rakyat.


“Untuk menentukan pemimpin, kita ada kuasa. Ketua bahagian seorang sahaja, perwakilan ada 1,000 orang, 600 orang, 500 orang.


“Mengapa kita tidak percaya kepada ahli biasa kali ini. Merekalah yang bersama dengan rakyat, ahli biasalah yang merasai denyut nadi rakyat ,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan dengan ahli Umno negeri di Gambang di sini, malam tadi.


Khairy memulakan ucapannya kira-kira jam 11.58 malam sebelum berakhir kira-kira setengah jam kemudian namun biarpun lewat, perwakilan bersemangat dan memberi respons positif terhadap ucapan beliau itu.


Khairy berkata, pemilihan Umno kali ini diistilahkan sebagai masa kebangkitan  perwakilan.


Katanya, keputusan yang akan dibuat pada pemilihan Sabtu ini bukan untuk ahli parti itu semata-mata tetapi sebenarnya isyarat besar kepada rakyat bahawa Umno sedia berubah.


“Keputusan ini bukan untuk menentukan siapa yang akan menjadi Presiden tetapi yang akan menjadi ketua menerajui parti tersebut berdepan PRU15.


“Kita kena pilih calon yang diterima rakyat dan calon yang dapat mengembalikan keyakinan rakyat terhadap Umno pada pilihan raya umum akan datang,” katanya.


Beliau berkata, calon yang dipilih perlu  ada tenaga dan semangat untuk membina semula parti keramat itu daripada keruntuhan pada PRU14 lalu.


“Atas semangat itu saya tawarkan diri untuk bertanding kerana mahu melihat perubahan besar dalam Umno.


“Saya akui mungkin agak sukar untuk menang kerana ada kepimpinan bahagian sudah menyatakan sokongan mereka kepada calon tertentu.


“Tapi kita kena jadikan PRU14 lalu sebagai iktibar. Kita tak boleh kawal, tentukan, lihat dan jangkakan kuasa rakyat,” katanya.


Khairy berkata, beliau dapat merasai angin perubahan cuma kali ini diharapkan Umno buat keputusan ikut kehendak rakyat.


“Mana yang rakyat pilih itulah pemimpin yang tepat untuk Umno. Maknanya jangan tolak sentimen rakyat. Jika rakyat mahukan perubahan, kita kena ikut,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]