Presiden Umno: Siapa pilihan akar umbi Sabtu ini

in Nasional by


KUALA LUMPUR –  Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Khairy Jamaluddin mempunyai kelebihan dan peluang masing-masing untuk diangkat menjadi presiden Umno yang baharu dalam pemilihan parti yang bakal diadakan Sabtu ini.


Kurang daripada 50 jam sebelum sesi pemilihan 191 bahagian seluruh negara itu, rata-rata suara akar umbi melihat kehebatan ketiga-tiga tokoh ini untuk menggerakkan parti ke satu dimensi baharu  bagi memulihkan pentadbiran dalam pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).


Ada yang memilih Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li, walaupun hanya seorang Anggota Parlimen  dan Ketua Umno Gua Musang kerana imej bersih yang dibawanya selama ini selain mampu berperanan sebagai pemimpin pembangkang berwibawa iaitu mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan pemimpin kerajaan di peringkat atasan.


Ada pula yang memilih pemangku presiden Ahmad Zahid dek pengalaman yang dimilikinya ketika parti diserang badai pada PRU14 lepas selain pernah menjadi timbalan perdana menteri.


Suara akar umbi turut memilih Anggota Parlimen Rembau yang juga bekas Ketua Pemuda  Khairy atau KJ kerana nafas baharu yang dibawanya bakal meremajakan parti dan mengubah landskap perjuangan secara total ke arah masa depan parti yang lebih baik.


Pengerusi Tetap Puteri Umno Bahagian Lipis yang juga bekas Naib Ketua Puteri Kuala Lipis Siti Najihah Amney Noor berkata beliau melihat kepada ketokohan Ahmad Zahid yang dilihat teguh dan utuh memperjuangkan parti dan kepimpinan UMNO.


“Ini dapat dilihat dengan sikap dan keperibadian beliau yang tenang dan sabar berhadapan dengan ujian  serta sentiasa merendah diri. Kita juga dapat lihat jati diri Melayu dan Islam yang kuat dalam  diri beliau demi untuk mengembalikan kekuatan Melayu  dan Islam,” katanya.


Dalam pada itu,  Ketua Umno Cawangan Desa Melayu, Johor Bahru, Nur Hafizul Moluq Noraini berkata beliau melihat keperibadian KJ yang mempunyai kemampuan dalam mencabar kerajaan khasnya Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.


Katanya, walaupun muda, namun KJ mempunyai kemampuan dan kepakaran dalam menangani isu-isu membabitkan kepartian, Melayu dan negara sekali gus dilihat mampu mengembalikan kegemilangan parti dan kepercayaan masyarakat.


Beliau berkata KJ juga dilihat berani bersuara dan mengkritik secara berhemah dan bijak serta tidak beremosi  akan isu-isu yang membelenggu parti dan negara.


Anggota Umno Bahagian Seremban Rahman Hussin pula berkata melihat kepada  penolakan Umno kerana persepsi dan isu korup melanda parti, maka Ku Li adalah pemimpin yang mampu membawa perubahan secara total berbanding calon-calon lain.


Menurutnya, ini kerana seorang presiden perlu mempunyai sikap integriti yang tinggi kerana  untuk  menunjukkan  imej baharu Umno dalam menyertai peperangan politik pada hari ini dan pada PRU15 nanti.


“Integriti perlu ada sebab rakyat menolak Umno dan BN sebelum ini kerana “credibility gap’ (jurang kredibiliti’ yang telah wujud. Keperluan Umno pada hari ini adalah untuk menukar persepsi dan mengurangkan credibility gap.


“Umno bukan sahaja menentang Tun Dr Mahathir semata-mata tetapi juga permainan persepsi yang Umno ini korup. Jadi calon presiden perlu ada sikap integriti yang tinggi,” katanya.


Ketua Umno Bahagian Maran Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib berkata UMNO perlu dikemudi gabungan barisan pemimpin generasi baharu dan lama sebagai formula ampuh dalam memastikan parti kembali bangkit dan membina semula keyakinan rakyat.


Menurutnya, jika hanya orang muda sahaja dipilih untuk memimpin Umno atas alasan untuk meremajakan parti dan menarik sokongan generasi muda, ia akan menjadi pincang kerana kurangnya pengalaman kepimpinan.


“Tapi kalau hanya orang lama sahaja yang diangkat jadi pemimpin Umno, juga tidak elok sebab percambahan idea-idea baharu untuk parti mungkin kurang dan Umno akan dilihat berada pada takuk lama sahaja.


“Jadi kolaborasi pemimpin lama yang berpengalaman dengan tenaga muda yang idealis dan bersemangat waja amat perlu untuk membarisi barisan pentadbiran Umno,” katanya.


Dilapor, jawatan presiden Umno bakal direbut lima calon pada pemilihan parti Sabtu ini dan lima calon yang disenaraikan itu ialah Ahmad Zahid ; Ku Li ; Khairy ; Anggota Jawatankuasa Umno Bahagian Bandar Tun Razak, Mohamed Iqbal Maricair dan Mohd Yusof Musa @ Jamaludin daripada Umno Bahagian Iskandar Puteri.


Dua lagi yang sudah menghantar borang tetapi tidak disenaraikan ialah blogger, Rahmat Azim Abdul Aziz dan Ketua Konvoi Motosikal Ride for World #QuranHour yang juga Pengerusi Kelab Sukarelawan Hospital Kajang dan Yang Dipertua Melayu Islam Bersatu Malaysia, Rosilee Saat.


Semua calon yang disenaraikan, melepasi proses saringan dalam pelbagai kaedah pada sudut kelayakan serta disemak di Jabatan Insolvensi terlebih dahulu. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]