'Saya tak halal undi untuk Ahli Parlimen'

in Uncategorized by


TAIPING – Tindakan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal meletak jawatan sebagai ketua Umno bahagian dan keluar parti menjadi wakil rakyat bebas dilihat keterlaluan.


Bekas Ketua Pemuda Umno Bahagian Bukit Gantang, Ahmad Kamil Mat Arshad berkata, tindakan pemimpin itu tidak mencermin dirinya sebagai seorang berintelek dan berpengetahuan bidang agama.


Katanya, alasan diberikan remeh malah tuduhan dilemparkan terhadap Pemuda Umno Bukit Gantang tidak benar.


“Secara jujurnya saya tidak halalkan undi saya ini dan saya nyatakan di sini elaun yang dimakan Ahli Parlimen Bukit Gantang ini, haram pada saya sebab saya yang mengundi dia. Saya yang mengangkat dia menjadi Ahli Parlimen.

AHMAD KAMIL.


“Ini satu pengkhianatan besar kepada jentera parti, ahli parti dan rakyat di Bukit Gantang ini. Saya dengan tegasnya kalau boleh saya merayu difikirkan semula situasi ini sebab pada saya tidak ada masalah sebab jawatan ketua bahagian tidak dicabar,” katanya kepada media, malam tadi.


Beliau yang juga Ketua Umno Cawangan Kampung Senduk berkata, pihaknya menafikan kononnya sayap Pemuda Umno bahagian tidak memberikan kerjasama kepada pimpinan bahagian.


Katanya, tuduhan dia menghalang Syed Abu Hussin hadir mesyuarat Pemuda Umno bahagian itu tidak benar.


Bagaimanapun Ahmad Kamil mengakui mempunyai krisis dengan Ahli Parlimen itu menyebabkan dia tidak boleh bekerja bersama.


“Saya berjiwa besar dan ambil keputusan untuk tidak bertanding apa-apa jawatan dalam Umno Bahagian Bukit Gantang kerana saya memang tak boleh bekerja dengan Datuk Syed Abu Hussin. Tapi saya masih ketua cawangan.


“Sepatutnya tak ada masalah pun sebab beliau menang Ketua Umno bahagian tanpa bertanding,. Kenapa perlu lompat jadi bebas” katanya.


Sementara itu, Adun Trong, Jamilah Zakaria menggesa Syed Abu Hussin membetulkan kenyataan mengaitkan beliau dalam kemelut yang berlaku.


Beliau berkata, sebenarnya beliau tidak bertanding dalam pemilihan bagi merebut jawatan Naib Ketua Wanita Umno Bahagian Bukit Gantang atas kerelaan sendiri dan bukan desakan sesiapa.


“Saya mahu mengharmonikan pertandingan untuk memberi laluan kepada orang yang lebih berkelayakan kerana saya baharu berpindah dari Puteri ke Wanita Umno.


“Saya yakin Wanita akan terus bersama Umno. Kita duduk di dalam Umno ini bukan untuk mengisi jawatan tetapi berkhidmat untuk rakyat. Saya kesal Datuk (Syed Abu Hussin) menyalahkan semua sayap dan mengatakan kekecewaan beliau,” katanya.


Jamilah berkata, kekecewaan Syed Abu Hussin lebih bersifat peribadi dan berharap keputusan itu akan memberikan ketengan kepadanya.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]