Suhaizan dilantik Speaker Dun Johor

in Nasional by


ISKANDAR PUTERI – Naib Pengerusi Amanah negeri, Suhaizan Kaiat mengangkat sumpah sebagai speaker Dun Johor yang ke-14.


Pelantikan Suhaizan, 45 itu dicadangkan Menteri Besar, Datuk Osman Sapian dan disokong Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Aminolhuda Hassan.


Istiadat angkat sumpah itu disempurnakan sempena Mesyuarat Pertama (Memilih Speaker, Mengangkat Sumpah Adun dan Memilih Timbalan Speaker) bagi penggal persidangan pertama Dun Johor ke-14.


Suhaizan merupakan anak jati Muar berpengalaman luas dalam bidang politik serta memainkan peranan aktif menyampaikan pelbagai isu kepada agensi kerajaan.


Beliau memiliki ijazah sarjana muda dan sarjana Sains Komputer dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pernah bertugas sebagai tutor dan pensyarah sains komputer dan sistem maklumat di UTM selama empat tahun.


Setiausaha Organisasi Amanah itu sebelum ini aktif memberi khidmatnya dalam Pas sehingga 2015 dan pernah menjawat jawatan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat dan Ketua Dewan Pemuda Pas negeri sebelum komited meneruskan agenda perjuangan rakyat melalui Amanah pada 2016.


Dalam ucapannya, Suhaizan merakamkan terima kasih atas kepercayaan dan penghormatan tinggi yang diberikan kepadanya.


“Ini merupakan tanggungjawab yang sangat berat dan perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]