Wanita Umno KT teliti kesilapan lalu

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Wanita Umno Kuala Terengganu akan meneliti kembali segala kelemahan dan kesilapan yang lalu, dalam mengatur gerak kerja seterusnya mengembalikan semula keyakinan rakyat kepada parti itu.


Naib Ketua Wanitanya, Meriam @ Normala Said yang kembali diberi kepercayaan untuk menduduki kerusi nombor dua wanita bahagian itu berkata, mereka akan cuba mengatur gerak kerja lebih awal.


Menurutnya, berbanding sebelum ini, Umno kini yang bergerak sebagai parti pembangkang perlu bekerja keras bagi memenangi semula hati rakyat.


“Sebab itu pemilihan Umno kali ini sangat penting kerana mereka yang terpilih menjadi faktor penggerak kepada parti. Kalau dulu, kita boleh melakukan aktiviti dan program dengan selesa tapi kini dengan kewangan yang terhad, tapi pada masa yang sama kita perlu lipat gandakan usaha.


“Saya yakin dengan kepimpinan yang diberi kepercayaan untuk memimpin bahagian ini sedar akan tanggungjawab berat yang harus mereka hadapi tapi dalam keadaan sekarang, kita perlu kuat semangat dan pandang ke depan,” katanya kepada Sinar Harian.


Ketika ditanya apa fokus utama yang akan diberikan perhatian oleh wanita bahagian, beliau berkata, menarik pengundi-pengundi muda untuk kembali menyokong Umno.


“Kita nak kenal pasti apa sebenarnya yang diingini oleh pengundi, terutamanya pengundi muda sebab kalau kita lihat sokongan orang- lama masih lagi dengan Umno, rasanya tiada perubahan yang banyak.


“Apa yang berlaku kini adalah berkait sokongan pengundi muda. Kita perlukan formula ajaib untuk menarik golongan ini. Wanita sedia bekerjasama dengan Pemuda dan Puteri dalam mencari formula itu,” katanya.


Sementara itu, mengulas mengenai jawatankuasa Wanita Umno bahagian yang baharu dipilih, beliau berkata, gabungan muka lama dan baharu kali ini mampu menggalas amanah diberikan.


Katanya, di sebalik ‘tsunami’ yang melanda, mereka masih sanggup bersama parti dan bekerja dalam serba kekurangan, demi memastikan Umno masih lagi relevan dan menjadi pilihan rakyat.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]