Yahaya, Husain antara yang disebut sebagai Speaker

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memberi bayangan jawatan Yang Dipertua Dun Terengganu yang baharu mungkin akan diisi daripada kalangan bukan Adun.


Menurutnya, berbanding sesetengah negeri, Terengganu mempunyai keistimewaannya kerana Yang Dipertua Dun atau Speaker tidak semestinya dilantik daripada kalangan Adun.


“Saya tidak mahu ulas panjang, tunggu majlis angkat sumpah Speaker dan Adun yang akan dibuat pada 1 Julai ini.


“Jadi, boleh buat tekaan sendiri la, saya tidak mahu mendahului Dun dan pelantikan angkat sumpah. Sebab itu, saya rasa lebih cermat untuk saya tidak menyebut, kalau tidak saya mendahului dewan (Dun) pula,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Petronas 2018 di Hotel Primula di sini, hari ini.


Turut hadir, Ketua Pegawai Perundingan Strategik Petronas, Idris Ibrahim dan Pengurus Besar Petronas Wilayah Pantai Timur, Wan M Hasnan Abdullah.


Sinar Harian difahamkan, dua nama disebut-sebut bakal mengisi jawatan itu, iaitu Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Husain Awang dan Timbalan Pesuruhjaya Pas III, Yahaya Ali.


Bagaimanapun, spekulasi kuat mengatakan Yahaya berkemungkinan besar akan dipilih sebagai Yang Dipertua Dun Terengganu yang baharu, manakala Husain dijangka akan dilantik sebagai senator, mengisi kuota senator dari Terengganu.


Husain sebelum ini pernah dilantik sebagai Yang Dipertua Dun Terengganu dari tahun 1999 hingga 2014 setelah Pas menawan Terengganu pada PRU10.


Sementara itu, Dr Samsuri berkata, pembukaan Sidang Dun Terengganu akan berlangsung pada 2 Julai oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin manakala persidangan akan berlangsung selama dua hari iaitu 3 dan 4 Julai ini.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]