Bahan kempen PRU14 masih tergantung

in Politik by


KLANG – Calon parti politik yang bertanding pada PRU14 lalu didesak membersihkan segera bahan kempen masing-masing yang masih tergantung di kawasan awam.


Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata, jika gagal berbuat demikian, pihaknya akan meminta wang deposit yang diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diberikan kepada pihak majlis untuk menanggung kos pembersihan.


Menurutnya, tempoh pembersihan bendera sepatutnya sudah tamat dua minggu lalu.


Bagaimanapun, pihaknya kesal apabila terdapat bendera dan gegantung parti politik di kawasan pentadbiran MPK yang masih belum dibersihkan.


“Saya minta semua parti politik yang bertanding pada PRU14 lalu bersihkan bahan kempen mereka, tempoh sudah tamat dua minggu lalu. Jika mereka gagal, MPK akan laksanakan kerja pembersihan dan ambil duit deposit yang diserah kepada SPR sebelum ini.


“Bagi mana-mana calon yang gagal menurunkan poster dan bahan kempen pula dikenakan bayaran sebanyak RM1,000 untuk kerja kutipan sampah termasuk bendera dan bahan kempen yang jatuh,” katanya ketika sidang media selepas Mesyuarat Bulanan MPK, semalam.


Beliau berkata, selepas selesai operasi pembersihan, pihaknya akan memohon duit deposit yang diletakkan calon iaitu RM5,000 (bagi calon parlimen) dan RM3,000 (calon Dun) kepada SPR sebelum ini..


“Kami dah kena mula buat kerja (pembersihan) esok atau lusa…saya ingat kita akan tuntut..kerja pembersihan sudah mula dijalankan, Adun dan calon harap bekerjasama dengan kami,” katanya.


 


Source: SH Politik

[featured-video-plus]