Bukan guna nama ayah: Tengku Haphiz

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Kemenangan Ketua Pemuda Umno Bahagian Hulu Terengganu dalam pemilihan Sabtu lalu tidak berkait dengan pengaruh bapanya yang juga seorang tokoh politik.


Tengku Haphiz Tengku Putera berkata, beliau berkhidmat sebagai Ketua Pemuda Umno Bahagian Hulu Terengganu dengan berdiri di atas kaki sendiri dan tiada kaitan dengan ayahnya, Tengku Putera Tengku Awang.


Menurutnya, dia ‘timbul’ dalam keadaan ayahnya tidak ada pembabitan apabila telah melepaskan segala jawatan politiknya termasuk di peringkat cawangan sebelum pemilihan itu lagi.


“Saya berkhidmat kepada parti melalui susuk tubuh saya sendiri, tidak adil nak kaitkan dengan ayah saya kerana beliau sudah lepaskan segala jawatan parti termasuk di cawangan.


“Dan saya telah bersedia apa jua cabaran yang akan dilalui selepas ini kerana macam mana pun saya ini tetap anak kepada Tengku Putera sampai akhirat pun kekal begitu,” katanya ketika berbicara di FB Live bertajuk Mampukah Pemuda Hidupkan Umno.


Tengku Haphiz berkata, dalam soal politik dia berlapang dada dan bersikap terbuka malah jika ada serangan sekalipun, ia lebih kepada serangan peribadi.


Dalam pada itu, Tengku Haphiz turut berkongsi, dia yang secara ‘rasminya’ terlibat dalam keluarga politik dan secara langsung madrasah politik itu berlegar-legar di kalangan keluarga sejak beliau berumur 12 tahun lagi.


“Boleh diibaratkan apabila toreh lengan dan keluar darah sudah dilabel darah politik.


“Sebab itu saya tampil dalam Umno supaya diberi nafas baru dan mahu menonjolkan bahawa Umno boleh berubah malah dalam masa sama nak beritahu rakyat hari ini, Umno sudah jadikan pengajaran daripada mandat rakyat pada PRU14 Mei lalu,” katanya.


Sementara itu, sentimen orang lama yang melabelkan orang politik adalah kotor dan macam-macam lagi, baginya itu adalah tanggapan salah, sebaliknya orang politik perlu dilihat sebagai seorang pejuang kepada rakyat.


“Saya melihat ayah sejak kecil sebagai seorang pejuang sehinggakan saya sendiri tidak sempat berjumpa kerana ayah sibuk membantu rakyat.


“Tetapi apabila kita sudah lama menjadi kerajaan hampir 61 tahun, sedikit sebanyak menggangu bila mana ia terlalu lama dan tergelincir sedikit,” katanya.


Bagaimanapun, beliau menegaskan supaya masyarakat tidak terlalu mudah atau cepat melabelkan orang politik begitu dan begini kerana selama ini mereka berjuang untuk rakyat.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]