‘Dakwaan tak berasas’

in Politik by


MELAKA TENGAH – Ketua Umno Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Idris Haron menepis dakwaan jawatankuasa bahagian itu yang mendakwa beliau membuat tawaran berupa wang tunai dan juga imbuhan kepada semua 56 cawangan dalam bahagian tersebut untuk mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti hujung bulan ini.


Malah tegas Idris yang juga Pengerusi Umno Melaka, tawaran elaun lebih RM1,000 setiap bulan dan seekor lembu korban setiap tahun bagi setiap cawangan itu merupakan manifestonya, malah telah dimulakan sejak 15 tahun lalu.


Menurutnya, apa yang dilakukannya itu perlu dilihat pada perspektif yang lebih tepat dan bukan sekadar tuduhan yang tiada asas semata-mata.


“Saya sendiri tertanya-tanya bagaimana dakwaan seumpama itu boleh timbul sedangkan saya tidak berjumpa perwakilan pun menjelang pemilihan parti kali ini dan saya kira dakwaan itu tiada asas.


[ ARTIKEL BERKAITAN: Mohon Umno Pusat batalkan kelayakan Idris bertanding ]


“Saya percaya perwakilan dan ketua cawangan telah mengenal saya dan saya telah memegang jawatan ini selama 10 tahun. Mereka tahu kaedah saya mentadbir dan menguruskan cawangan melalui bagaimana kegiatan yang dianjurkan cawangan setiap bulan dan setiap hari,” katanya.


Idris berkata demikian dalam sidang media pada Majlis Penutupan World Youth International Dialog di Pantai Puteri, Tanjung Kling, di sini, kelmarin.

Keratan Sinar Harian, semalam.


Mengulas lanjut katanya, tujuan peruntukan itu adalah untuk membiayai program serta aktiviti kemasyarakatan atau kebajikan oleh cawangan-cawangan tersebut termasuklah Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK), Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JKPP), persatuan belia, masjid, surau dan sebagainya.


Sementara itu, ketika mengulas mengenai pendedahan jawatankuasa bahagian itu yang mendakwa Idris mengetepikan AJK bahagian dalam menentukan calon yang bertanding pada PRU14 lalu sehingga BN negeri tewas ke tangan Pakatan Harapan, beliau menjelaskan soal pemilihan calon bukan terletak di atas bahunya semata-mata.


“Pemilihan calon adalah diletakkan di atas bukan sahaja pengerusi perhubungan, tetapi presiden parti dan timbalan presiden parti, naib-naib presiden parti, setiausaha agung parti.


“Malah, presiden parti komponen turut diberikan nasihat dan panduan oleh pihak konsultan. Saya nak beritahu pada AJK Umno Bahagian Tangga Batu, semua mereka dicalonkan sebagai calon, kita tak ramai, kita ada 48 orang, dan sudah pasti jawatan-jawatan utama menjadi pilihan utama,” katanya.


Selasa lalu, Umno Bahagian Tangga Batu mendesak pucuk pimpinan parti membatalkan pencalonan Idris untuk mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti yang dijadualkan hujung bulan ini.


Idris yang juga bekas Ketua Menteri Melaka, didakwa melanggar Perkara 5.1.1 dan Perkara 5.1.2 Fasal Perlembagaan Umno apabila dikesan berkempen dengan membuat tawaran berupa wang tunai RM1,000 setiap bulan dan juga seekor lembu setiap tahun kepada 56 cawangan di bahagian itu untuk menyokongnya mempertahan jawatan.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]