ERL kendali Makkah Metro

in Bisnes by


EXPRESS Rail Link Sdn Bhd (ERL) menghantar 33 kakitangan untuk membantu mengendalikan operasi Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro (Makkah Metro) di Arab Saudi sepanjang musim haji 2018.


Ketua Pegawai Eksekutifnya, Noormah Mohd Noor berkata, kesemua mereka akan membantu kelancaran operasi Makkah Metro yang diuruskan syarikat China Railway Construction Corporation Limited (CRCC) yang dilantik Kerajaan Arab Saudi.


Menurutnya, 33 kakitangan ERL dan anak syarikatnya ERL Maintenance Support Sdn Bhd (E-MAS) bertanggungjawab menyelaraskan Makkah Metro iaitu tren menghubungkan sembilan stesen di tiga lokasi penting dalam ibadat haji iaitu Arafah, Mina dan Muzdalifah.


“Makkah Metro akan membawa 72,000 penumpang setiap jam dan akan mengendalikan 500,000 penumpang dalam tempoh enam hingga lapan jam. Makkah Metro mempunyai 14 tren dengan 12 gerabak sepanjang 300 meter.


“Mereka akan berada di sana selama dua bulan bermula 1 Julai  dan skop tugasan meliputi Timbalan Pengurus Stesen, Ketua Stesen dan Pembantu Ketua Stesen dan Agen Stesen Bilik Kawalan.


” Selama tujuh hari mereka akan mengetuai 7,000 pekerja tempatan menguruskan stesen dan mengawal kesesakan stesen  terlibat,” katanya pada  sidang media semalam.


Hadir sama Pengurus Besar Kanan (Haji) Lembaga Tabung Haji dan Ketua Misi Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, Pengurus Besar (Pengurusan Haji) Lembaga Tabung Haji merangkap Timbalan Ketua Misi Haji Malaysia, Nurrinanuwar Shamsussin dan ERL Maintenence Support Sdn Bhd (E-MAS), Thomas Baake.   


Noormah berkata, pemilihan ERL tahun ini menunjukkan kepercayaan tujuh tahun berturut-turut pihaknya membantu operasi Makkah Metro yang diperkenalkan  Arab Saudi sembilan tahun lalu.


“ERL bekerjasama dengan CRCC buat pertama kali kerana sebelum Makkah Metro diuruskan syarikat dari Malaysia. Dan 21 kakitangan yang dihantar ini pertama kali menyeratinya,” katanya.


Katanya, bagi memastikan tugas lancar, petugas dilatih mengendalikan pelbagai jenis kes luar jangka.


“Ia bertujuan mengelakkan perkara yang boleh mengganggu perjalanan ibadat haji ratusan ribuan jemaah,” katanya.


Sementara itu, Syed Saleh berkata, seramai 30,200 jemaah akan menunaikan haji untuk musim haji tahun ini.


“Ia melibatkan 81 penerbangan di lapan lapangan terbang di seluruh negara dan penerbangan pertama 14 Julai depan.


“Buat pertama kalinya, semua jemaah haji dari Lembah Klang dan sekitar akan berkumpul di Kompleks Tabung Haji Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang terletak di Sepang,” katanya.


Katanya, kompleks tersebut selesa dan mampu menempatkan lebih 1,000 jemaah dalam satu-satu masa.


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]