Gara-gara halau anjing, jari hantu tertusuk paku

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


NILAI – Seorang penyelia kilang terpaksa dikejarkan ke Klinik Kesihatan Nilai pagi tadi, dengan jari tangan kirinya masih tertusuk paku yang terdapat pada sekeping papan sepanjang dua kaki.


Kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu berlaku apabila lelaki berusia 58 tahun itu tidak menyedari terdapat paku pada papan yang digunakan untuk menghalau anjing liar yang masuk ke kawasan kilang tempatnya bekerja .


Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Pegawai Bomba Kanan II Khairullizal Abu Kassim berkata, mangsa datang ke klinik berkenaan untuk mendapatkan rawatan atas kecederaan dialami.


“Namun, pihak klinik menghubungi bomba jam 8.07 pagi untuk dapatkan bantuan memecahkan papan itu terlebih dahulu bagi memudahkan rawatan.


“Sebaik sampai, mangsa dilihat dalam keadaan tenang walaupun cuba menahan sakit akibat jari hantu tangan kirinya tertusuk paku,” katanya.


Menurutnya, bomba perlu berhati-hati memecahkan papan terbabit supaya tidak mencederakan mangsa dengan mengambil masa kira-kira 10 minit.


“Mangsa yang kelihatan stabil kemudian diserah kepada pihak klinik untuk rawatan lanjut,” katanya.

 


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]