Kalah tetapi popular

in Edisi Johor by


KALAH tetap dapat nama. Itulah yang berlaku kepada Kampung Parit Jerman selepas kekalahan 2-0 Jerman kepada Korea Selatan ketika Piala Dunia di Rusia baru-baru ini.


Kampung Parit Jerman terus menjadi perhatian dan sebutan di media-media sosial sejak bermulanya demam Piala Dunia.


Ini kerana, ramai yang meletakkan harapan kepada Jerman yang muncul juara Piala Dunia 2014 selepas mengalahkan Argentina untuk muncul juara sekali lagi.


Bagi penduduk Kampung Parit Jerman sudah pasti mereka memilih pasukan Jerman sebagai pilihan untuk bergelar juara Piala Dunia.


Faktor nama kampung yang sama dengan Jerman dijadikan alasan bagi kebanyakan penduduk untuk menjadi penyokong tegar negara Eropah itu.


Maka tidak hairanlah ketika Jerman menjadi juara Piala Dunia 2014, penduduk Kampung Parit Jerman meraikan kemenangan tersebut dengan sorakan luar biasa dan diadakan  kenduri nasi ambeng.


Jadi bahan media sosial


Penduduk, Ahmad Daud Mohd Saeng, 40, berkata, sejak bermulanya Piala Dunia 2014, Kampung Parit Jerman dikaitkan dengan pasukan Jerman di media-media sosial.


Menurutnya, perkara sama turut berlaku tahun ini apabila ramai meletakkan gambar papan tanda Kampung Parit Jerman selepas bermulanya Piala Dunia 2018 Rusia.


“Ramai yang sudah tahu tentang Kampung Parit Jerman. Jadi mereka gunakan nama kampung kami sebagai bahan di media sosial.


“Macam-macam gambar yang diedit termasuk meletakkan gambar pemain Jerman,” katanya.


Bagaimanapun selepas kekalahan Jerman kepada Korea Selatan, ada yang menukar gambar papan tanda Kampung Parit Jerman kepada Kampung Parit Korea di media sosial.


Tetap sokong Jerman


Ahmad Daud berkata, penduduk kampung tetap menyokong pasukan yang mempunyai nama sama dengan kampung iaitu Jerman.


Katanya, setiap kali pasukan Jerman beraksi, penduduk kampung akan menyaksikan perlawanan tersebut secara beramai-ramai.


“Kali ini musim raya, jadi lepas marhaban raya, penduduk akan berkumpul untuk menyaksikan perlawanan melibatkan pasukan Jerman.


“Sorakan dan tepukan diberikan kepada Jerman sebab kami mahu Jerman menang lagi kali ini. Tetapi akhirnya Jerman tewas dan tersingkir awal,” katanya.


Ahmad Daud berkata, tidak mustahil penduduk akan mengadakan kenduri dan layar skrin besar sekiranya Jerman melangkah ke perlawanan akhir sebagaimana pada 2014.


“Ketika Piala Dunia yang lepas, penduduk berkumpul bersama di kawasan gelanggang badminton kampung bagi menyaksikan perlawanan akhir yang berlangsung pada awal pagi.


“Skrin besar dipasang di gelanggang badminton kampung yang mampu memuatkan kira-kira 100 penduduk Kampung Parit Jerman dan beberapa kampung sekitar. Penduduk juga bersahur bersama berikutan perlawanan akhir disaksikan pada awal pagi Ramadan pada waktu itu,” katanya.


Harap bina pintu gerbang


Namun di sebalik kehangatan Piala Dunia, penduduk di kampung ini mengharapkan pintu gerbang di hadapan laluan masuk ke Kampung Parit Jerman dapat dibina sebagai usaha meningkatkan lagi imej kampung yang menjadi sebutan apabila dikaitkan dengan Jerman dan Piala Dunia.


Penduduk, Mohd Khairi Tambi, 40, berkata, cadangan itu diharap dapat diberi perhatian oleh pihak berkenaan apatah lagi dengan kedudukan kampung yang terletak di laluan utama ke Pekan Nenas dan Tanjung Piai.


“Papan tanda kampung pada masa kini agak kecil dan tidak sesuai untuk dijadikan sebagai tempat untuk orang ramai bergambar di situ.


“Memandangkan ini merupakan laluan utama, ramai yang singgah untuk merakam kenangan di hadapan papan tanda kampung terutamanya ketika cuti raya yang lalu,” katanya.


Pihaknya berharap agar peruntukan sama ada dari peringkat parlimen mahupun kerajaan negeri bagi pembinaan pintu gerbang dapat diperoleh sebelum penghujung tahun ini.


“Tempias pasukan Jerman yang dikaitkan dengan Kampung Parit Jerman merupakan sesuatu yang positif bagi sektor pelancongan di daerah Pontian.


“Justeru, pembinaan pintu gerbang dilihat mampu menghidupkan sektor pelancongan di kawasan Kampung Parit Jerman.


“Jika Pahang ada Kampung New Zealand dan Melaka terkenal dengan Perkampungan Portugis, Johor juga tidak ketinggalan punya kampung yang mempunyai nama negara asing iaitu Kampung Parit Jerman di Pontian,” katanya.

 


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]