Ku Li ‘buka mulut’ kisah Umno diharamkan, Semangat 46

in Politik by


KUALA LUMPUR –  Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mendedahkan bahawa beliau bukan orang yang bertanggungjawab sehingga menyebabkan Umno diharamkan pada 1987.


Jelasnya, beliau tidak tahu menahu mengenai perkara itu, sehinggalah beliau mengetahuinya menerusi laporan sebuah berita.


Katanya, ketika permulaan kejadian itu, beliau berada di luar negara kerana pergi bercuti setelah tewas dalam pemilihan jawatan Presiden Umno pada tahun tersebut.


“Selepas pertandingan, timbul satu tim yang tiada kena mengena dengan saya mendakwa mereka walaupun dipilih menerusi Mesyuarat Agung Peringkat Cawangan Umno, yang sepatutnya mereka jadi wakil perwakilan peringkat bahagian tetapi mereka dinafikan hak itu.


“Jadi mereka tak dapat wakili cawangan mereka, jadi mereka ini dapat nasihat peguam supaya membawa satu petisyen ke mahkamah, ketika itu saya sudah bercuti di luar negeri, tiada di sini dan saya sudah berhenti jadi menteri, saya kalah dalam pemilihan,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Harian di kediamannya semalam.


Katanya, meskipun beliau hanya kalah dengan undi sebanyak 43 undi, namun beliau rasakan satu kewajipan buatnya berundur kerana sudah tidak menerima mandat lagi.


“Jadi saya berundur, saya dengar berita 13 orang bawa petisyen kerana mereka dinafikan hak, jadi saya tak ambil kisah sangat kerana Perhimpunan Agung Umno sudah selesai , jadi saya akui saya kalah , jadi saya tak nak campur jadi oleh itu saya ingat kes ini tiada kena mengena dengan saya.


“Kerana mereka tak wakili saya pun, tapi apabila mahkamah menimbang kes ini mereka buat keputusan maka mahkamah berhak hukum Umno haram, jadi apabila haram saya jadi ahli parti termasuk yang menang juga tiada parti,” katanya lagi.


Mendedahkan lanjut, Tengku Razaleigh berkata, apabila Umno diharamkan setelah pulang dari bercuti beliau pergi menghadap Tunku Abdul Rahman.


“Apabila parti diharamkan jadi saya balik selepas bercuti saya menghadap Tunku,  beliau nasihat saya bahawa nampaknya orang berkuasa begitu degil tak mahu terima… jadi kita buat permohonan nak bersatu kekal dalam satu parti di mana saya mohon, Tunku, Tun Hussein On mohon Tan Sri Musa hitam, mohon nak jadi ahli ramai tapi kita semua ditolak.


“Jadi aneh perkara ini berlaku jadi Tunku nasihat saya kena jaga orang saya sebab perpecahan itu dalam pertandingan bukan kecil separuh memihak kepada saya,” katanya.


Oleh itu katanya, Tunku menasihatkan beliau agar menubuhkan satu parti baharu.


“Jadi oleh kerana itu Tunku sarankan saya agar tubuh satu parti…nama Umno tak boleh guna kerana haram oleh mahkamah.


“Jadi beliau kata orang saya benar-benar taksub dengan Umno jadi kita guna nama Semangat 46…Itu yang timbul, Tunku yang cadang jadi parti ditubuhkan Tunku bimbang orang ini pilih parti lain dan akan berhijrah,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]