KWSP benar caruman sukarela fleksibel mulai 1 Julai

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan memansuhkan had minimum RM50 bagi bayaran caruman sukarela oleh anggota berkuatkuasa 1 Julai ini.


Ini akan membolehkan mereka memberi sumbangan dalam mana-mana amaun, pada bila-bila masa, kata tabungan pencen terbesar negara dalam satu kenyataan.


“Sedikit simpanan yang  diketepikan pada hari ini bakal memastikan kesejahteraan persaraan ahli kami di masa hadapan.


“Oleh  itu, kami mahu memastikan ahli kami dapat menyumbang dalam mana-mana amaun, pada bila-bila masa, dalam lingkungan kemampuan kewangan mereka melalui kelonggaran yang diperkenalkan,” kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Mohd Naim Daruwish.


Amaun  maksimum terkumpul yang boleh disumbangkan ke dalam setiap akaun, bagaimanapun, masih dihadkan kira-kira RM60,000 setahun.


Ahli KWSP boleh menyumbang secara sukarela untuk akaun mereka sama ada melalui Skim Persaraan  1Malaysia, Skim Caruman Pilihan Sendiri atau Caruman Penambahan Simpanan.


Mohd Naim berkata, opsyen untuk mencarum  secara sukarela  adalah selaras dengan agenda persaraan yang inklusif kerana ia adalah terbuka kepada semua rakyat Malaysia yang bekerja sendiri.


“Bukan  warganegara Malaysia dengan permit kerja yang sah juga boleh menyumbang secara sukarela dengan mendaftar sebagai ahli,” katanya.


Menurut KWSP, sebagai tambahan kepada pemansuhan sumbangan minima RM50, ahli dapat menyumbang ke dalam Akaun 1 yang dimiliki anak-anak mereka yang menjadi anggota KWSP melalui Caruman Penambah Simpanan.


Sebelum ini, skim tersebut hanya membenarkan ahli KWSP menyumbang kepada akaun 1 milik ibu bapa atau pasangan mereka.


Untuk  maklumat lanjut, anggota boleh menghubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP pada talian 03-89226000 atau rujuk laman web KWSP di www.kwsp.gov.my atau lawati mana-mana 67 cawangan KWSP di seluruh negara. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]