Lancar tabung hantar pasukan ke Rusia

in Edisi Terengganu by


KUALA BESUT – Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Besut mengambil tindakan proaktif dalam usaha mencari dana untuk membiayai kos Pasukan Inovasi KuBest sekolah berkenaan ke Kongres Pemuda Perbadanan Tenaga Atom Negara Rusia (Rosatom) di Rusia, Ogos depan.


Pengerusinya, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman berkata, ia merupakan  usaha dibuat PIBG dengan kerjasama pengurusan sekolah yang telah melancarkan Tabung Pasukan Inovasi KuBest ke Rusia di sekolah itu, semalam.


Menurutnya, dana tambahan amat diperlukan bagi membiayai kos penyertaan seorang lagi guru pengiring perempuan kerana guru pengiring tambahan tidak dibiayai penganjur.


“Penganjur hanya menanggung kos penerbangan pergi balik dari Kuala Lumpur ke St Petersburg, Rusia, penginapan dan makan untuk seorang guru pengiring dan tiga pelajar dari pasukan tersebut sahaja.


“Bagaimanapun polisi Kementerian Pendidikan Malaysia menetapkan sekiranya melibatkan pelajar perempuan maka guru pengiring perempuan juga perlu ikut sama,” katanya.


Tengku Zaihan yang merupakan Adun Kuala Besut berkata demikian selepas melancarkan tabung tersebut yang disaksikan Pengetua, Che Soh Che Mat dan Pengerusi Majlis Kebajikan Pelajaran Daerah Besut (MKPDB), Yusof Kassim.


Tengku Zaihan berkata, pasukan yang diketuai oleh Ketua Bidang Sains Matematik sekolah, Faizul Abd Rahman manakala pelajar Muhammad Syazwan Mat Sidik, 17, Muhamad Anuar Abd Ghani, 17, dan Safiyyah Muhammad Nasir, 16 tahun.


Menurutnya, pihak sekolah perlu menghantar seorang guru perempuan di samping seorang guru lelaki untuk tujuan itu.


“Maka ia memerlukan kos tambahan di samping untuk perbelanjaan sampingan lain pasukan tersebut,” katanya.


Pasukan itu telah mengharumkan nama negara selepas muncul juara pertandingan Program Pembangunan Sumber Manusia Untuk Tenaga Nuklear anjuran Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) di Gyeongju, Korea Selatan akhir Mei  lepas.


Susulan kejayaan menewaskan pasukan dari Amerika Syarikat, Hungry, Jepun dan Korea mendorong Rosatom Rusia menjemput bagi membentangkan Projek Kesedaran Nuklear pada kongres tersebut pada 27 dan 28 Ogos.


Tengku Zaihan turut menyumbangkan RM2,000 untuk tabung tersebut.


Mana-mana pihak yang ingin menyumbang kepada tabung tersebut boleh menyalurkan dana ke akaun CIMB bernombor 8006635609 (PIBG SMK Kuala Besut).


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]