Lelaki kurung ibu, adik bersama anjing

in Global by


MADRID – SEPANYOL. Seorang lelaki ditahan kerana mengurung ibu dan adik perempuannya di dalam sebuah bilik penuh air kencing dan najis di rumah mereka yang dikongsi bersama 10 ekor anjing, kata polis.


Lelaki berusia 35 tahun itu ditahan kerana mengurung , mendera, mengugut dan mencederakan ibu dan adiknya yang kurang upaya, di selatan bandar Seville.


Menurut polis, mangsa tidak dibenarkan makan ketika suspek berada di rumah dan mereka juga diikat menggunakan tali dan hanya akan dilepaskan dengan kebenarannya.


“Pernah suspek berada di rumah selama tiga hari dan mangsa tidak makan selama tempoh itu,” kata polis.


Bagi memastikan mangsa tidak melarikan diri, bilik yang menjadi tempat kurungan mempunyai pintu yang boleh dikunci dari luar.


“Ketika menggeledah, kami menjumpai kedua-dua mangsa berkongsi dua bilik tidur bersama beberapa ekor anjing yang membuang najis merata-rata sama seperti mangsa kerana mereka tidak dibenarkan menggunakan tandas,” kata polis.


Tidak dapat dipastikan sejak bila mereka mula dikurung. – AFP


Source: SH Global

[featured-video-plus]