Lula dahului senarai calon pilihan presiden Brazil

in Global by


RIO DE JANEIRO – BRAZIL. Meskipun sedang menjalani hukuman penjara, bekas Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva terus mendahului senarai dalam kalangan 2,000 calon bagi pemilihan presiden akan datang, menurut satu pungutan suara yang disiarkan pada semalam.


Menurut Institut Pendapat Umum dan Statistik Brazil (IBOPE), Lula memperoleh 33 peratus sokongan.


Di tempat kedua ialah bekas pegawai tentera dan anggota parti berhaluan kanan yang ekstrem, Jair Bolsonaro, dengan 15 peratus diikuti bekas senator dan Menteri Alam Sekitar Marina Silva dengan tujuh peratus serta bekas Gabenor Negeri Ceara dan Menteri Integrasi Nasional, Ciro Gomes, yang memperoleh empat peratus.


Statistik menunjukkan bahawa meskipun berada dalam tahanan, bekas presiden itu terus menjadi calon kegemaran dalam kalangan pengundi.


Lula sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun bagi kesalahan rasuah membabitkan skandal minyak negara Brazil, Petrobras.


Lula masih berhak mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Keadilan Atasan dan Mahkamah Agung Persekutuan.


Peguamnya sedang berusaha membebaskan Lula sehingga rayuan beliau didengar.


Bagaimanapun, tiada jaminan bahawa Mahkamah Pilihan Raya Atasan akan meluluskan pencalonan Lula kerana undang-undang telah memperuntukkan bahawa mana-mana calon yang mempunyai sabitan dan sedang menunggu rayuan tidak boleh bertanding. –  Bernama


Source: SH Global

[featured-video-plus]