Mahu saman Setiausaha Umno bahagian

in Edisi Terengganu by


KEMAMAN – Akibat menerima surat pembatalan sebagai calon bagi pemilihan jawatankuasa Umno bahagian Kemaman sesi 2018 hingga 2021, Mat Dalam Awang yang bertanding bagi jawatan ketua bahagian mendakwa reputasi beliau terjejas teruk.


Mat Dalam berkata, surat pembatalan itu diterimanya daripada Setiausaha Umno Bahagian Kemaman, Rosli Ahmad pada taklimat wakil calon jawatankuasa pemilihan Umno bahagian itu kira-kira jam 2.30 kelmarin.


Menurutnya, menerusi surat itu, dinyatakan beliau tidak layak dicalonkan bagi semua jawatan dipertandingkan kerana hasil semakan yang dibuat di Jabatan Insolvensi Malaysia mendapati beliau diisytiharkan muflis oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.


Katanya, ekoran itu beliau segera membuat semakan dengan Jabatan Insolvensi Terengganu di Kuala Terengganu dan mengesahkan namanya tidak bankrap.


“Surat berkenaan memuatkan kenyataan palsu yang saya lihat sebagai cubaan menghalang saya daripada bertanding jawatan ketua bahagian dan merosakkan reputasi saya.


“Ia mencemarkan nama  saya kepada perwakilan ketika setiap calon sedang rancak berkempen sekarang,” katanya.


Berikutan itu, Mat Dalam berkata, beliau akan berunding dengan peguam untuk menyaman setiausaha Umno bahagian.


“Saya akan saman sebab saya tak bankrap, saya seorang yang bersih dan tak bankrap,” katanya.


Sementara itu, Rosli berkata, beliau hanya menjalankan tugas mengeluarkan surat berkenaan kerana selepas semakan dibuat penguam Umno Bahagian Kemaman mendapati Mat Dalam diisytiharkan muflis.


Bagaimanapun, katanya, dalam surat sama juga pihaknya menyatakan memberi ruang dan masa kepada Mat Dalam untuk menyelesaikan segala urusan dengan Jabatan Insovensi Malaysia untuk melayakkan beliau bertanding dalam pemilihan itu yang akan berlangsung esok.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]