‘Mana kami nak pergi?’

in Edisi by


GUA MUSANG – Seramai 80 peserta Projek Agropolitan Rantau Manis (ECER) bimbang apabila mereka diarahkan untuk mengosongkan kediaman masing-masing.


Mereka adalah peserta yang berdepan pelbagai masalah disiplin sepanjang mengikuti projek berkenaan sejak 2012 dan dua daripadanya perlu keluar sebelum 1 Julai.


Menurut Mohd Yusoff Shafiin, 37, dia mengakui kesilapan lalu dan memohon agar peluang kedua diberikan memandangkan dia sekeluarga tiada tempat tinggal lain.


“Saya menerima surat untuk keluar dari kediaman selewat-lewatnya Ahad ini. Mana kami sekeluarga mahu pergi kerana sudah enam tahun berada di sini.


“Saya mengakui kesilapan lalu dan menyerah diri semasa ujian saringan untuk membebaskan diri dari belenggu dadah.


“Malah, saya juga sudah menjalani Pengawasan Polis (PS) selama dua tahun. Saya mohon pertimbangan dalam kes ini dan keprihatinan kerajaan baharu untuk bantu kami,” katanya.


Bagaimana nasib anak saya?


Selain itu, ibu kepada enam anak, Noraini Mohd Ani, 36, ini turut bimbang kerana mereka sekeluarga juga perlu keluar dari rumah Ahad ini.


Katanya, sama seperti Mohd Yusoff, suaminya juga turut menyerah diri kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam saringan air kencing yang beberapa tahun lalu.


“Sejak suami saya menyerahkan diri, kami sekeluarga terus tidak menerima sebarang faedah sebagai peserta. Hanya kediaman sahaja yang dapat.


“Selepas suami bebas, dia bekerja di merata tempat kerana anak-anak kami masih bersekolah kerana dia tidak boleh bekerja di dalam projek ini lagi.


“Namun, bila ada arahan untuk keluar, kami bertambah buntu. Mana kami mahu pergi dan bagaimana nasib anak-anak kami yang sedang bersekolah seramai lima orang,” katanya.


Noraini berkata, dia mohon agar pihak ECER mempertimbangkan perkara ini dan campur tangan kerajaan baharu,” katanya.


Bagi Noreha Zakaria, 39, suaminya pula dikenakan tindakan tata tertib kerana masalah disiplin semasa bekerja.


Bagaimanapun, tarikh tetap bagi arahan atau notis rasmi untuk mengosongkan rumah masih belum diterima.


“Sebelum ini, saya ada terima surat untuk mengosongkan rumah dalam tempoh 14 hari, namun tiada sebarang tindakan sehingga kini.


“Saya bimbang memikirkan hal ini kerana kami dari keluarga asnaf dan saya juga menjaga ibu yang sudah tua dan uzur.


“Ke mana kami mahu pergi jika perlu keluar dalam tempoh yang ditetapkan? Bantulah kami, kami tiada tempat untuk dituju,” katanya sebak.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]